Vigneswaran kekal Presiden MIC

KUALA LUMPUR 27 Mac – S A Vigneswaran kekal sebagai Presiden MIC untuk penggal ketiga apabila menang tanpa bertanding sebaik tempoh pencalonan bagi pemilihan kepemimpinan baharu parti itu ditutup pukul 12 tengah hari ini.

Pemilihan semula Vigneswaran bagi mengekalkan jawatan itu diumumkan Timbalan Presiden MIC,  M Saravanan di ibu pejabat parti itu hari ini.

“Tahniah diucapkan kepada Tan Sri SA Vigneswaran yang telah mengekalkan jawatannya sebagai Presiden MIC bagi penggal 2024 hingga 2026,” menurut kiriman di Facebook MIC hari ini.

Keputusan itu selari dengan resolusi dipersetujui perwakilan parti ketika Perhimpunan Agung MIC ke-77 November tahun lalu, yang memutuskan menghalang sebarang pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan kali ini.

Sementara itu, Saravanan menyifatkan pemilihan semula Vigneswaran menerajui MIC, bukti penyatuan kepimpinan dalam parti itu.

“Tan Sri mengekalkan jawatan Presiden MIC untuk penggal ketiga berturut-turut selepas pencalonan presiden parti ditutup di ibu pejabat parti pada tengah hari ini. MIC kini lebih bersatu berbanding sebelum ini dan terus melihat ke hadapan.

Selain memperjuangkan nasib masyarakat, MIC adalah satu-satunya parti berasaskan India di negara ini yang meletakkan komitmen tinggi terhadap kebajikan dan pendidikan masyarakat India,” katanya di Facebook.

Saravanan sebelum ini turut mengumumkan tidak akan bertanding bagi merebut jawatan tertinggi parti pada pemilihan kali ini.

MIC akan mengadakan pemilihan jawatan presiden bagi penggal 2024 hingga 2027 pada 12 April ini, dengan hari pencalonan ditetapkan dari jam 11 pagi hingga 12 tengah hari tadi di tingkat lima ibu pejabat parti itu di sini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment