Langkah proaktif atasi kesesakan lebuh raya

KUALA LUMPUR 27 Mac – Bagi meminimumkan kesesakan lebuh raya dan melancarkan aliran trafik, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengambil beberapa langkah proaktif menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata kerajaan prihatin berhubung kesesakan lalu lintas yang berlaku menjelang musim perayaan ini khususnya melibatkan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Katanya, antara tindakan yang diambil bagi mengurangkan kesesakan pengguna di lebuh raya melibatkan penghentian kerja-kerja penyelenggaraan, pengaktifan laluan pintar (Smart Lane) termasuk penyediaan aplikasi digital MyPLUS-TTA oleh syarikat konsensi.

“Kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong akan dihentikan sementara pada cuti perayaan nanti bermula 1 hingga 17 April 2024. Hanya kerja-kerja kecemasan dibenarkan untuk dilaksana sekiranya diperlukan,” katanya.

Di samping itu ‘Smart Lane’ akan diaktifkan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti bagi memastikan aliran trafik yang lebih lancar, sesuai dengan pandangan dan ulasan yang diberikan oleh pengguna jalan raya pada cuti Tahun Baharu Cina lalu.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.

Nanta berkata kerja penambahbaikan seperti pemasangan papan tanda baharu dan lampu amaran (flashlight) akan disiapkan selewat-lewatnya 7 April ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lebuh raya mengenai waktu operasi ‘Smart Lane’.

Katanya kerja-kerja penandaan semula garisan jalan bagi menambah jumlah lorong lebuh raya di lokasi tertentu di PLUS juga telah dilaksanakan bagi menambah kapasiti sedia ada.

Selain itu, lebih banyak lorong transaksi tol dibuka termasuk pelaksanaan kutipan tol secara berlapis di plaza-plaza tol, serta memastikan pasukan ronda serta kren atau kembalik (kenderaan membawa balik) dalam keadaan siap siaga di lokasi sering berlaku kemalangan.

Beliau berkata penggunaan papan tanda elektronik dan jalinan kerjasama dengan pelbagai saluran radio dan televisyen utama juga akan dilaksanakan bagi tujuan penyaluran maklumat trafik kepada pengguna lebuh raya.

Sementara itu bagi mengatasi kesesakan di Plaza Tol Gombak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, beliau memberitahu, susun atur semula lorong kutipan tol akan disiapkan bagi melancarkan proses pembayaran tol semasa cuti perayaan Aidilfitri

Nnnn

Related posts

Leave a Comment