Jangan cemas kes meningkat

BERAKAS 9 Jun  – Penduduk Brunei Darussalam diingatkan supaya tidak cemas dengan peningkatan kes baharu Covid-19 sejak kebelakangan ini, kata Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar.

Beliau berkata, peningkatan kes itu memang sudah dihangka berikutan pelbagai kelonggaran yang diberi tetapi kebanyakan kes adalah dalam kategori satu dan dua.

Katanya,  keadaan akan lebih stabil tidak lama lagi dan meminta penduduk terus mengambil langkah membendung jangkitan dengan memakai pelitup muka, mengelakkan bersama orang lain jika tidak sihat dan mengambil dos penggalak.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, jumlah kes baharu adalah 390 berbanding 399 kes semalam yang membawa kepada jumlah keseluruhan 151,950.

Beliau berkata, sebanyak 382 kes yang dilaporkan adalah hasil Ujian ART manakala lapan kes lagi hasil daripada 339 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Katanya, tiada kes bagi kategori 5 dan dua kes direkodkan bagi Kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Beliau memberitahu , sebanyak 312 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 148,922 manakala jumlah kes aktif sebanyak 2,804 iaitu 15 kes

sedang dirawat di hospital, manakala 2,789 menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, sebanyak 65 dos pertama vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang membawa kepada 83.0 peratus.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 881 dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 62.9 peratus menerima dua dos manakala 71.4 peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment