KUALA LUMPUR 20 Mac – Dewan Rakyat hari ini diberitahu, mereka yang gagal mengemaskini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) berkemungkinan akan tertinggal daripada menerima bantuan dan subsidi kerajaan.
Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib bagaimanapun berkata kerajaan boleh menggunakan alternatif seperti pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai agensi sektor awam bagi menyalurkan bantuan kepada individu terlibat.
Ia termasuk data pendaftaran daripada kerajaan negeri dan tempatan serta agensi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang terdapat dalam PADU bagi membentuk data komprehensif mengikut individu dan isi rumah.
Katanya , setakat 12 Mac, PADU telah mengintegrasikan 314 set data pelbagai agensi yang menjadi asas untuk membentuk profil individu yang komprehensif termasuk maklumat 8.6 juta pemohon Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk golongan B40 warganegara Malaysia.
Justeru , kerajaan memohon sokongan dan kerjasama semua pihak bagi meningkatkan usaha mendaftar dalam sistem PADU.
Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang ingin tahu apakah terdapat alternatif buat individu yang tidak dapat mendaftar dalam PADU atas pelbagai sebab, dan apakah terdapat jaminan mereka tidak akan ketinggalan daripada mendapatkan kemudahan serta bantuan yang disediakan.
Hanifah berkata pendaftaran PADU tidak diwajibkan tetapi digalakkan kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas dan setakat semalam hampir 6.03 juta atau 27.4 peratus warganegara dan penduduk tetap di Malaysia telah mendaftar sistem tersebut.
