Kilang mohon maaf, tutup operasi

BATU PAHAT 20 Mac –  Kilang yang terbabit dengan kontroversi stoking tertera kalimah Allah menutup  operasinya hari ini, sehari selepas pihak pengurusan mengeluarkan kenyataan terhadap kebimbangan mengenai kebocoran data peribadi pegawai di syarikatnya serta ancaman mahu membakar premis itu.

Notis penutupan kilang di kawasan perindustrian Sri Gading itu dimaklumkan menerusi notis yang ditampal di pintu utama tanpa memaklumkan tarikh penyambungan semula operasi.

Penutupan itu dipercayai bertujuan meredakan keadaan dan melindungi keselamatan pekerja susulan tekanan serta desakan supaya membuat permohonan maaf terbuka atas tindakannya.

Di samping itu sehelai kain rentang kelihatan di pagar utama kilang terbabit yang tertera permohonan maaf kepada rakyat Malaysia atas kejadian berkaitan stoking memaparkan kalimah Allah yang ditemui di kedai serbaneka di Bandar Sunway, baru-baru ini.

Dalam permohonan maaf itu, pihak pengurusan turut menyenaraikan tiga perkara iaitu berjanji atas komitmen untuk sentiasa menjaga sensitiviti masyarakat berbilang agama, memelihara keharmonian dan meningkatkan usaha kawalan kualiti.

Semalam, polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan serbuan dan pemeriksaan sebelum menemui lima pasang stoking tertera kalimah Allah.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati kelima-lima stoking itu adalah yang dipulangkan tiga kedai KK Mart ketika kontroversi bermula.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pihaknya menerima sembilan laporan yang dibuat di daerah itu, setakat ini dan siasatan masih dijalankan termasuk mengambil keterangan mereka yang terbabit mengendalikan operasi kilang terbabit.

“Pagi ini kita buat tiga rakaman percakapan untuk melengkapkan siasatan berhubung kontroversi itu,” katanya.

KK Mart melalui Facebook,  turut memohon maaf berhubung stoking itu dan menjelaskan ia suatu kesilapan yang tidak disengajakan.

“Pihak-pihak berkuasa sedang membuat penyiasatan mengenai perkara ini. Pihak kami telah dan akan berkerjasama sepenuhnya dengan pihak-pihak berkuasa dalam penyiasatan perkara ini,” kata permohonan maaf itu.

Dalam pada itu Persatuan Ekonomi Muslim Malaysia menghargai langkah yang diambil oleh Pembekal KK Mart untuk menangani isu sensitif ini dengan penutupan operasi dan permohonan maaf.

“Namun, kami percaya bahawa tanggungjawab sosial korporat melibatkan lebih daripada tindakan reaktif; ia memerlukan komitmen berterusan untuk menghormati dan memahami kepelbagaian budaya dan kepercayaan,” kata persatuan melalui Facebooknya.

Walaupun menghargai permohonan maaf, persatuan akan terus dengan inisiatif boikot sehingga yakin bahawa langkah-langkah yang berkesan dan berterusan telah diambil untuk mengelakkan kesilapan serupa pada masa hadapan

Nnnn.

Related posts

Leave a Comment