TEL AVIV – Puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun di Tel Aviv menuntut penamatan perang di Gaza dan pembebasan tebusan, menjadikannya salah satu demonstrasi terbesar di Israel sejak perang bermula pada Oktober 2023.
Bagaimanapun, perhimpunan yang menjadi kemuncak kepada siri bantahan di seluruh negara dan mogok umum bagi menekan kerajaan Israel dikecam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Netanyahu menyatakan tindakan penunjuk perasaan itu secara tidak langsung akan menguatkan kedudukan Hamas dalam rundingan.
“Mereka yang hari ini menyeru agar perang dihentikan tanpa kekalahan Hamas, yang bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Hamas dan melambatkan pembebasan tebusan kita, tetapi juga memastikan bahawa kengerian 7 Oktober akan berulang,” kata Netanyahu dalam mesyuarat Kabinet.
Pada perhimpunan itu, orang ramai yang berhimpun melaungkan slogan ‘bawa mereka semua pulang! Hentikan perang!’ ketika membanjiri Dataran Tel Aviv yang kini digelar ‘Dataran Tebusan’.
Penganjur bantahan itu, Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang, menganggarkan sekitar 500,000 orang menyertai perhimpunan. Bagaimanapun angka berkenaan belum disahkan pihak polis.
Ibu tebusan, Matan Zangauker, yang juga tokoh utama bagi gerakan berkenaan, Einav Zangauker menuntut perjanjian menyeluruh yang boleh dicapai bagi menamatkan perang.
“Kami menuntut apa yang sepatutnya milik kami dan anak-anak kami. Kerajaan Israel menjadikan perang yang pada mulanya adil menjadi perang yang sia-sia,” katanya kepada orang ramai.
