SEPANG 20 Mac – Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Salleh menegaskan, tindakan sama seperti dikenakan ke atas kedai serbaneka KK Mart akan dilakukan sekiranya ada kedai dimiliki orang Islam menjual barangan yang menghina agama Islam.
Beliau menjawab pertanyaan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke semalam mengenai apa tindakan Pemuda UMNO sekiranya perkara yang sama berlaku di kedai peniaga Islam .
“Jika kedai orang Islam jual benda yang sama menghina agama Islam bukan sahaja boikot, malah lebih teruk kita akan boikot dan kenakan padanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Akmal yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka berkata, ini bukan soal perkauman tetapi ia soal menjaga kesucian agama Islam.
“Jika ada mana-mana pihak yang mencemarkan agama Islam, tidak kira bangsa mahupun fahaman politik kita akan tetap lawan habis-habisan. Yang memainkan isu ini sebagai isu perkauman ini kamu!!! Shame on u Kekal boikot KK mart,” katanya.
Terdahulu dalam kenyataannya, Akmal berkata beliau tidak perlu mendapatkan persetujuan DAP untuk mempertahankan agama Islam dari dihina dan tidak gentar siapa pun mereka.
Semalam DAP menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan gesaan Ketua Pemuda UMNO itu untuk memboikot kedai serbaneka KK Mart yang terpalit dengan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah baru-baru ini.
Loke berkata, pendirian itu telah disampaikan kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh di Putrajaya malam semalam.
“Saya nak tanya Dr Akmal, kalau perkara ini berlaku kepada sebuah kedai ataupun satu rangkaian kedai runcit yang dimiliki oleh satu syarikat yang beragama yang dimiliki oleh orang Islam apa reaksi dia?
“Pendirian kita memang tidak bersetuju dengan pendekatan dan cara yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal. Saya rasa pandangan-pandangan telahpun dikemukakan,” katanya.
Loke juga menegaskan ahli politik sepatutnya menjadi jambatan dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia dan bukannya menghasut sentimen perkauman.
“Dalam masyarakat kita yang berbilang budaya, berbilang agama, terdapat banyak isu sensitif yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam, dan sebagai pemimpin politik, kita mesti bekerja keras untuk membina jambatan.
“Tidak kira apa yang berlaku, kita mesti cuba membina jambatan untuk menyelesaikan isu dan meredakan keadaan, bukan untuk menghangatkan keadaan,” katanya.
