Imbas kod QR bagi pelepasan Imigresen Singapura

SINGAPURA 12 Mac – Mulai 19 Mac ini, pelawat yang tiba dan keluar dari Singapura dengan kereta melalui tempat pemeriksaan Woodlands dan Tuas boleh menggunakan kod respons pantas (kod QR) bagi menggantikan pasport untuk pelepasan imigresen.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura dalam satu kenyataan hari ini berkata, kaedah itu lebih cepat dan mudah berbanding menghantar pasport mereka kepada pegawai ICA di kaunter kereta.

Mereka hanya perlu mengimbas satu kod QR yang dikeluarkan sebelum tiba di pusat pemeriksaan, untuk semua pengembara di dalam kereta.

Bagi menggunakan Kod QR untuk pelepasan imigresen, pelawat perlu memuat turun aplikasi MyICA untuk peranti mudah alih mereka dan memasukkan butiran pasport dalam aplikasi itu untuk menghasilkan kod QR yang unik.

Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma sama ada daripada App Store (iOS) atau Google Play Store (Android).

Bagi penduduk Singapura pula boleh memasukkan secara automatik butiran pasport mereka menerusi SingPass apabila mengakses aplikasi MyICA atau menggunakan fungsi kamera terbina dalam aplikasi mudah alih untuk mengimbas Zon Boleh Dibaca Mesin (MRZ) pada muka surat biodata mereka di dalam pasport.

Menurut ICA, pelawat asing yang mengunjungi Singapura sebelum ini boleh menggunakan kamera terbina dalam aplikasi MyICA untuk mengimbas MRZ (dua atau tiga baris aksara) pada muka surat biodata mereka dalam pasport untuk memasukkan maklumat pasport mereka.

Bagaimanapun, pelawat kali pertama dan mereka yang memasuki Singapura menggunakan pasport berbeza daripada kunjungan terakhir, perlu menyerahkan pasport mereka untuk pelepasan imigresen dan hanya boleh menggunakan kod QR untuk pelepasan imigresen pada perjalanan seterusnya.

ICA berkata, pelawat dalam kereta sama boleh memasukkan butiran pasport mereka sehingga 10 orang dan menghasilkan kod QR untuk satu kumpulan bagi pelepasan imigresen.

Melalui inisaitif kod QR ini membolehkan pelawat menikmati pengalaman lebih pantas dan mudah dengan anggaran penjimatan masa kira-kira 20 saat untuk kereta dengan empat pelawat dan hampir seminit untuk kenderaan dengan 10 orang.

Bagaimanapun selepas inisiatif ini dilancarkan, pelawat masih boleh memilih untuk menyerahkan pasport fizikal mereka kepada pegawai di kaunter, seperti amalan pada masa ini.

ICA berkata, ia merancang untuk meluaskan pelepasan menggunakan kod QR secara progresif ke zon pelepasan lain di pusat pemeriksaan darat dan ini akan membolehkan pelawat dalam kenderaan lain juga menikmati pelepasan imigresen yang pantas dan mudah.

Nnn

Related posts

Leave a Comment