Elak bazir, berbuka di rumah, masjid

TANJONG 12 Mac –  Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata pada bulan-bulan lain.

Katanya, tahun lalu sebanyak 90,000 tan makanan dibazirkan dan dibuang di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan.

Justeru, Mohideen menggesa orang ramai tidak membazir makanan sepanjang Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan beribadat tetapi bagi sesetengah orang menjadikan bulan menjamu selera, boros dan membazir perbelanjaan.

“Ada sesetengah orang makan dan minum begitu banyak sehingga menjadi malas dan mengabaikan untuk melakukan kewajipan solat mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohideen mengingatkan kerakusan atau bersikap lahap juga boleh memberi kesan sampingan kesihatan yang serius seperti diabetes, penyakit koronari dan tekanan darah tinggi.

“Berbuka puasa secara tradisinya dilakukan di rumah bersama ahli keluarga atau di masjid dalam suasana kerohanian. Bagaimanapun, ia telah bertukar kepada pesta makanan dengan lebih 100 jenis hidangan di hotel dan restoran,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai menjadikan Ramadan ini lebih bermakna dengan mengelakkan berbuka puasa di hotel sebaliknya bersama keluarga serta rakan-rakan mereka berbuka di rumah atau di masjid.

“Jemputlah jiran bukan Islam anda untuk berbuka puasa bersama. Dengan cara ini, kita dapat membina hubungan baik dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau juga menarik perhatian masyarakat Islam bahawa membuang makanan merupakan satu dosa memandangkan ia menafikan makanan untuk mereka yang memerlukan dan generasi masa depan.

“Perbuatan itu juga melenyapkan sumber dan menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut dan sungai dengan melepaskan karbon dioksida yang bertanggungjawab terhadap pemanasan global,” katanya.

Beliau berkata, salah satu tujuan berpuasa ialah menahan lapar seperti yang dialami oleh golongan miskin dan terpinggir.

“Ia akan mengajar kita untuk insaf dan simpati kepada mereka yang miskin dan tidak mempunyai makanan. Kini lebih dua juta rakyat Palestin menghadapi kebuluran, oleh itu, kita tidak sepatutnya membuang banyak makanan pada bulan suci ini,” katanya.

Golongan kaya katanya, seharusnya berkongsi kekayaan dengan mereka yang miskin dan memerlukan, bukannya bersikap rakus dan bermegah-megah dalam cara hidup.

“Gunakan kekayaan anda untuk membantu golongan miskin dan terpinggir keluar daripada kemiskinan serta penindasan dengan menyokong program-program amal jariah,” katanya lagi.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment