
SEBAIK sahaja diumumkan umat Islam di Malaysia akan berpuasa mulai esok Selasa, 12 Mac maka berduyun-duyunlah poster, video, ucapan, panduan ibadah dan sebagainya berkaitan puasa masuk ke WhatsApp.
Pada masa yang sama, masih ada perbincangan berkaitan Tarawih. Berapa rakaat, adakah 8 + 3 atau 20 + 3. Akan timbul lagi kenapa tidak itu tidak ini. Dibandingkan pula masjid dan surau malahan sehingga dibandingkan dengan Arab Saudi.
Di celah-celah perbahasan jumlah rakaat akan timbul juga soal tazkirah sama ada di pertengahan atau sesudah solat sunat itu.
Biar berapa rakaat yang hendak dilakukan, dirikanlah solat Tarawih itu. Mendirikan solat lebih penting berbanding berbahas jumlah rakaat saban tahun. Ingatlah Tarawih bukan datang setiap bulan. Tarawih datang setahun sekali. Raikannya.
Selepas sebulan berpuasa, akan tiba pula hari yang dinanti-nantikan. Hari ‘kemenangan’, atau hari raya. Berduyun-duyun pula yang akan pulang ke kampung. Apa sahaja pengangkutan digunakan untuk pulang ke kampung halaman.
Bagi yang mahu menggunakan pengangkutan awam, terpaksa buat tempahan awal, bimbang tiket habis. Biasanya begitulah kecuali jika ada perkhidmatan tambahan.
Berkait dengan balik kampung, tidak kecuali pemandu kenderaan persendirian yang akan bergerak ke utara, selatan dan timur dengan menggunakan lebuh raya. Biasanya lebih dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya.
Jumlah kenderaan terbesar akan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di samping Lebuhraya KL-Karak; Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 dan Pantai Timur Fasa 2. Tidak ketinggalan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).
Bagaimana agaknya suasana pulang ke kampung melalui lebuh raya pada kali ini? Pasti sesak, tidak dapat dielakkan. Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Kedah dan Perlis pastinya mengambil masa tambahan, berbanding hari-hari biasa.
Begitulah situasi yang saban tahun terpaksa ditempuh oleh pengguna lebuh raya. Keluar selepas Subuh belum pasti sampai waktu Maghrib.
Apa pun kita mengalu-ngalukan ingatan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kepada semua syarikat konsesi lebuh raya supaya membuat persediaan rapi susulan peningkatan trafik terutama pada waktu puncak sepanjang Ramadan.
Pastikan perjalanan pengguna selesa, selamat dan lancar sama ada ketika mahu pulang ke kampung untuk berpuasa bersama keluarga pada hujung minggu atau menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Benar, di atas jalan atau lebuh raya tidak banyak yang dapat dilakukan. Saiz jalan mungkin sama sahaja berbanding jumlah kenderaan yang terus meningkat. Jika ada kemalangan atau kerosakan kenderaan, keadaan bertambah sesak. Ada lokasi yang pasti sesak, boleh dikatakan sepanjang masa.
Justeru, ‘tenangkan’ pengguna semasa berada di kawasan rehat dan rawat (R&R).
Semua syarikat konsesi perlu memastikan semua kemudahan di R&R, hentian sebelah dan plaza tol dalam keadaan baik.
Pastikan bekalan air dan kebersihan kawasan berkenaan di samping kemudahan letak kenderaan dan jika perlu sediakan kemudahan tambahan sama ada tandas, ruang solat bagi menampung peningkatan jumlah pengguna.
Kemudahan itu amat penting. Ramai yang sudah ada pengalaman bagaimana berhadapan suasana di R&R berikutan peningkatan pengguna terutama tandas.
Baru-baru ini, ketika singgah di R&R Tapah arah selatan, didapati kemudahan tandas sedang dinaik taraf. Ia melibatkan penutupan sebahagian tandas. Diumumkan penutupan sementara. Satu perkembangan yang baik tetapi bertabahlah pengguna menunggu giliran untuk melepaskan hajat.
Pernah satu ketika, semasa kerja naik taraf dilakukan di R&R Sungai Buloh, hasrat melepaskan hajat tiba-tiba ‘hilang’. Bertahan mencari tempat lain. Apa tidaknya selepas menunggu, sebaik pintu tandas diselak, ada benda ‘terapung’ di dalam mangkuk tandas. Ini mungkin sikap pengguna.
Diharapkan kerja-kerja naik taraf di mana-mana R&R dapat disiapkan menjelang hari kemuncak pengguna cuti menyambut perayaan. Benar kesulitan hari ini untuk keselesaan masa hadapan, tetapi lakukan persediaan jika naik taraf tidak siap.
Jika tidak ada pilihan, sediakan tandas tambahan bagi mengelakkan kesesakan.
Akhirnya saya begitu teruja apabila singgah di R&R Seremban arah selatan pada 26 Februari lalu. Setelah sekian lama ditutup, hasilnya cukup membanggakan. Ada yang kata seperti ruang menunggu di lapangan terbang..
Bukan setakat ruang makan, surau, tandas dan tempat rehat yang selesa tetapi kawasan letak kereta juga luas. Bayangkan jika semua R&R seluas itu terutama R&R tumpuan seperti di Tapah.
Justeru bangunkan R&R yang selesa untuk tempoh 10 tahun akan datang bukan untuk setahun dua. Jika tidak asyik naik taraf. Letih membaca “Kerja-kerja penambahbaikan untuk keselesaan anda” atau “Kesulitan hari ini untuk keselesaan masa depan”
Selamat berpuasa dan beribadah sepanjang Ramadan.
Nnnn
