Kes scam libatkan kerugian RM245 juta

KUALA LUMPUR 6 Mac –  Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerima 71,631 panggilan berkaitan kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM245 juta dalam tempoh 14 bulan, iaitu antara 12 Oktober 2022 sehingga 31 Januari lalu,

Daripada jumlah aduan itu, polis membuka 8,754 kertas siasatan bagi menyiasat berkaitan kesalahan penipuan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sebanyak 64 kertas siasatan pula dibuka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001

(AMLA) selain pembekuan sebanyak RM69 juta bagi tujuan siasatan kerana kesalahan pengubahan wang haram.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying memberitahu Dewan Rakyat, penipuan pelaburan, skim ponzi dan atas talian dipantau oleh pelbagai agensi bergantung kepada elemen kesalahan berkenaan di bawah bidang kuasa masing-masing.

“Di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, terdapat pelbagai langkah penguatkuasaan diambil Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC),” katanya menjawab soalan  Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata bagi mengesan dan mengenal pasti skim atau aliran wang haram membabitkan luar negara, BNM bekerjasama dengan pihak berkuasa asing yang menjalankan analisis jejakan kewangan atau siasatan ke atas sebarang jenayah penipuan dan skim kewangan haram yang dilakukan dalam negara mereka.

Selain itu, katanya kerjasama strategik pelbagai pihak di antara BNM, SC, agensi penguatkuasaan lain, institusi kewangan dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bagi tindakan penguatkuasaan yang lebih cekap ke atas sindiket jenayah penipuan pelaburan melalui perkongsian maklumat dan aktiviti menjejak dan mengesan aliran wang haram.

Beliau juga menegaskan penjenayah pengubahan wang haram bukan saja boleh dikenakan hukuman penjara, malah aset serta wang hasil yang diperoleh menerusi kegiatan haram juga boleh disita atau dilucuthakkan di bawah AMLA.

Katanya, pihak SC sudah mengambil tindakan menyita wang berjumlah RM116 juta dalam tempoh antara 2021 hingga 2023.

BNM juga sudah mengambil pelbagai langkah terhadap syarikat syarikat yang mendakwa memperoleh lesen dan kelulusan BNM termasuklah menyenarai di dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan serta mengambil tindakan undang-undang di atas penyalahgunaan nama BNM.

Setakat 2023, sebanyak 497 entiti sudah disenaraikan di bawah Senarai Amaran Pengguna Kewangan.

Nnn

 

 

 

Related posts

Leave a Comment