Keputusan kini di tangan Hamas

KAHERAH: Keputusan kini berada di tangan pemimpin Hamas sama ada mahu membebaskan tebusan Israel sebagai pertukaran bagi gencatan senjata di Semenanjung Gaza, kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Beliau membuat kenyataan itu ketika delegasi rundingan damai berjumpa pada hari ketiga tanpa sebarang kejayaan berikutan sikap Hamas dan Israel yang enggan bertolak ansur berhubung syarat yang ditetapkan masing-masing.

Perunding dari kumpulan pejuang Palestin, Qatar dan Mesir berada di Kaherah dan cuba mendapatkan pengisytiharan gencatan senjata selama 40 hari dalam perang Israel-Palestin berikutan bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Perjanjian yang dibentangkan kepada pemimpin Hamas itu antara lain adalah untuk membebaskan beberapa tebusan yang ditangkap oleh pejuang Palestin ketika serangan Oktober sehingga mencetuskan perang.

Pada masa sama, bantuan kepada Gaza akan ditingkatkan bagi mengelakkan kebuluran, di mana semakin ramai kanak-kanak yang kekurangan zat dibawa ke hospital untuk rawatan kritikal. Pemimpin Hamas akan menyediakan senarai semua tebusan yang ditahan di Gaza.

Pembebasan tebusan yang sakit, cedera, warga emas, kanak-kanak dan wanita akan membolehkan gencatan senjata serta-merta dilaksanakan di Gaza sekurang-kurangnya selama enam minggu.

Perkara itu disahkan Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, selepas mesyuarat hari ini.

“Fasa pertama gencatan senjata ini akan membolehkan bantuan kemanusiaan diberikan kepada penduduk Gaza dan menyediakan masa serta ruang untuk mendapatkan rumusan lebih berkekalan dan ketenangan secara berterusan,” menurut kenyataan Rumah Putih.

Terdahulu di Beirut, pemimpin Hamas, Osama Hamdan, mengulangi tuntutan utama kumpulannya iaitu menamatkan serangan tentera Israel, pengunduran tentera Israel, dan membenarkan pelarian Palestin dari Gaza kembali ke rumah mereka.

Beliau berkata sebarang pertukaran tahanan tidak boleh berlaku kecuali selepas gencatan senjata, mencerminkan pandangan Hamas bahawa gencatan senjata mesti dilaksanakan dan sebagai langkah ke arah penyelesaian konflik.

Bagaimanapun di pihak rejim Zionis, pihaknya hanya mahu menghentikan sementara perang untuk membolehkan tebusan keluar dari Gaza dan lebih banyak bantuan dapat disalurkan.

Pada masa sama, Israel juga menegaskan bahawa ia tidak akan menamatkan konflik sehingga pejuang Hamas ‘dihapuskan.”

Biden berkata tawaran yang diberikan oleh Israel itu ada rasional dan harus diterima Hamas bagi meredakan keadaan sekarang kerana jika perang berterusan sehingga Ramadan, ia akan menjadi sangat bahaya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment