Bantuan haji bersasar diteruskan

KUALA LUMPUR 5 Mac – Kadar bantuan kewangan haji yang ditetapkan bagi setiap jemaah haji adalah berdasarkan kategori pendapatan individu masing-masing dan bukannya berdasarkan pendapatan isi rumah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata dasar penetapan kadar bayaran haji secara bersasar yang diperkenalkan pada musim haji 1443H/2022M diteruskan lagi untuk musim haji 1445H/2024M.

Katanya, Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneruskan inisiatif bantuan itu dari tahun ke tahun kepada golongan paling memerlukan, selaras hasrat kerajaan untuk menstruktur semula bantuan secara bersasar.

“Dasar klasifikasi pendapatan bagi jemaah haji yang terpilih mengikut kategori B40, M40 dan T20 ini adalah berasaskan kerjasama dengan agensi kerajaan untuk menyemak silang maklumat bakal haji dengan pangkalan data kerajaan sedia ada seperti 2022 dan 2023 lalu.

TH juga mengambil maklum akan usaha kerajaan membina Pangkalan Data Utama (PADU) yang menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah dalam usaha untuk menyalurkan subsidi secara adil dan bersasar,” katanya dalam jawapan bertulis, menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai).

Beliau berkata, TH akan mempertimbangkan untuk menambah baik proses mengklasifikasikan bakal jemaah haji bagi tujuan pemberian bantuan kewangan haji bersasar.

“Bagi musim haji tahun ini, TH masih dalam proses mengeluarkan surat tawaran kepada jemaah haji secara berperingkat yang mula dikeluarkan sejak 19 Januari lalu.

“Sehingga kini lima bakal haji kategori B40 dan 24 bakal haji kategori M40 sudah membuat bayaran penuh, manakala sejumlah 150 orang lagi sudah bersetuju menerima sebahagian sahaja daripada bantuan kewangan haji.

“Jumlah keseluruhan jemaah haji yang menolak tawaran bantuan kewangan haji akan diketahui selepas selesai semua bakal haji menjawab tawaran tunai haji,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment