KUALA LUMPUR 5 Mac – Kerajaan digesa mengkaji dengan teliti atau menangguh pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel, memandangkan rakyat sedang berdepan kenaikan harga barang dan pelbagai jenis cukai yang membebankan.
Muhyiddin Yasin (PN-Pagoh) yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, program rasionalisasi itu jika dilaksanakan akan menyebabkan semua barang dan perkhidmatan akan naik harga, dan lebih ramai rakyat akan sengsara.
“Saya faham beban fiskal yang ditanggung oleh negara kita akibat jumlah subsidi yang besar.
“Tetapi pada masa sama, adakah kita rela melihat rakyat menanggung sengsara dalam keadaan mereka sudah pun terbeban dengan pelbagai masalah yang berkaitan dengan tekanan kos sara hidup dan kenaikan cukai,” katanya
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Bekas Perdana Menteri, itu turut meluahkan kebimbangan dengan situasi ekonomi negara yang kian meruncing dan masalah kos sara hidup dibebani rakyat yang berlarutan.
Menurutnya, jika perkara itu berterusan, ekonomi negara akan berdepan masa yang sukar dan sukar untuk pulih yang akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat.
Beliau berkata, kerajaan nampaknya tidak mengambil kira secara holistik bebanan ditanggung rakyat dengan keputusan menaikkan kadar cukai dan lain-lain kenaikan yang berlaku mutakhir ini.
“Seolah-olah semuanya dilonggok ke atas rakyat tanpa ada strategi jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh.
“Adakah kerajaan tak faham kesan kenaikan cukai SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) terhadap keseluruhan rantaian bekalan yang akhirnya menyebabkan hampir semua barang naik harga dan kesannya ditanggung oleh rakyat jelata,” katanya.
Presiden Bersatu itu turut menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa beliau pandai berjanji semasa menjadi pembangkang namun kini dilihat seolah-olah tidak menepati janji.
“YAB Tambun ketika jadi pembangkang dulu pandai berjanji macam-macam.
Jadi saya harap YAB Tambun, dengan izin, ‘walk the talk’. Ingatlah janji-janji yang ditabur kepada rakyat dahulu.
Jangan berbohong kepada rakyat buruk akibatnya,” sambil menyentuh tiga ciri orang munafik iaitu tidak menunai janji, berbohong dan khianati amanah.
Beliau turut menempelak pentadbiran Perdana Menteri berikutan kejatuhan nilai ringgit dan rakyat tidak yakin dengan ringgit dan mendakwa kepemimpinan Anwar tidak mampu menguruskan ekonomi negara dengan baik.
Muhyiddin turut mempersoalkan tindakan kerajaan dalam mencari penyelesaian kepada isu bekalan beras putih tempatan yang berkurangan di pasaran dan didakwanya tidak pernah berlaku sebelum ini.
Nnnn
