Terengganu kekalkan nama Pasar Payang

KUALA TERENGGANU 1 Mac – Kerajaan negeri tidak berhasrat mengkomersialkan nama Pasar Kedai Payang kepada nama lain, sebaliknya akan mengekalkan nama sedia ada dan menjadikannya pasar utama di Terengganu.

Menteri Besar,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata nama pasar itu sudah sinonim dengan Terengganu yang menjadi syurga pelancong membeli-belah ketika berkunjung ke negeri ini.

Beliau berkata, Pasar Kedai Payang juga mempunyai susur galur sejarah, budaya dan resam yang unik serta dekat di hati rakyat Terengganu.

“Kita nak menjadikan Pasar Kedai Payang ini sebagai pasar utama di Terengganu, dalam bahasa Inggerisnya adalah ‘The Central Of Market’ tetapi bukannya Central Market macam di Kuala Lumpur

Pasar ini bukan saja tempat menjual barangan, pameran dan lokasi aktiviti sosial serta masyarakat, malah ia menjadi destinasi pelancongan serta kebudayaan yang semuanya akan berpusat di sini.

“Jadi, bagi saya tidak timbul perubahan apa-apa, (cuma) sekarang ialah bagaimana kita perlu mengisi Pasar Kedai Payang itu supaya menjadi pusat tumpuan masyarakat dari dalam dan luar Terengganu serta antarabangsa.

Kita boleh bekerjasama dengan Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Pelancongan serta sebagainya ,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya bersikap terbuka dengan keputusan Kerajaan Terengganu berhubung isu Pasar Kedai Payang.

“Saya bersikap terbuka atas keputusan Kerajaan Terengganu mahu mengekalkan nama Pasar Payang walaupun ia projek Kerajaan Persekutuan berharga RM70 juta.

“Niat saya baik, jangan ada yang cuba mencerca, ini bukan budaya Malaysia Madani,” katanya menerusi perkongsian di akaun Twitternya.

Kor Ming pada 28 Februari lalu mencadangkan nama Pasar Kedai Payang ditukar kepada Central Market Terengganu sebagai hab untuk kesenian, kraf tangan, kebudayaan dan pelancongan.

Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang 1 dan Majlis Kick-Off Program Bandar Selamat (PBS) Tahun 2024.

Projek pembangunan semula Pasar Kedai Payang yang berusia lebih 50 tahun adalah projek pembangunan semula pasar di atas tapak sedia ada membabitkan kos keseluruhan RM70.03 juta.

Fasa pertama projek ini bermula dengan pembinaan pasar sementara dikenali sebagai Pasar Payang 2 yang terletak kira-kira 80 meter dari tapak asal yang siap dibina pada Mei 2019, manakala Pasar Payang 1 yang dibina pada Ogos 2019 siap sepenuhnya pada 19 Julai 2023.

Kerja-kerja pembinaan semula Pasar Payang ini membabitkan pembinaan bangunan dua tingkat bagi menempatkan 412 lot kedai, 369 petak jualan, tandas, tandas orang kurang upaya (OKU) eskalator, bilik persalinan bayi, lif, surau, infrastruktur seperti jalan masuk, tempat letak kenderaan, lampu jalan, landskap dan menara jam.

Nnn

Related posts

Leave a Comment