JABATAN Negara Amerika Syarikat (AS) menggesa rakyatnya di Venezuela supaya meninggalkan negara itu “dengan segera,” berikutan ancaman keselamatan daripada kumpulan militia bersenjata yang memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya bagi memburu warga AS.
Dalam satu amaran keselamatan, jabatan itu berkata, situasi keselamatan di Venezuela kekal tidak menentu, seminggu selepas pemimpin negara itu, Nicolas Maduro ditangkap oleh tentera AS dalam satu serbuan.
“Dengan penerbangan antarabangsa yang sudah disambung semula, rakyat AS di Venezuela dinasihatkan supaya segera meninggalkan negara itu,” kata jabatan itu.
Amaran itu turut menyebut mengenai kumpulan militia bersenjata yang dikenali sebagai ‘colectivos’ yang dilaporkan melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan bagi mencari warga AS atau sebarang bukti sokongan terhadap AS.
