PUTRAJAYA 15 Feb. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap, amalan melantik Menteri Agama dalam kalangan bukan ahli politik dapat diteruskan demi memastikan isu-isu berkaitan hal ehwal agama Islam tidak dijadikan bahan politik.
Titah baginda, pada masa yang sama tumpuan sepenuhnya dapat diberikan oleh Menteri Agama di dalam menyelesaikan pelbagai isu yang melibatkan umat Islam.
“Beta menyarankan juga kelayakan akademik berasaskan ijazah Pendidikan Islam perlu dijadikan sebagai kriteria utama di dalam melantik seorang Menteri Agama,” titah baginda pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-71 di sini hari ini.
Tegas baginda, pentadbiran agama Islam di negara ini perlulah bebas dari pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan setiap urusan agama.
Menurut baginda, umat Islam sedia maklum bahawa isu-isu agama sering dipolitikkan sejak beberapa dekad yang lalu malah semakin serius sejak kebelakangan ini.
“Akibatnya berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan di kalangan umat Islam. Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam.
Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan agama Islam akan menghormati umat Islam,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin menegaskan, teguran baginda tidak dimaksudkan kepada mana-mana pihak malah mengingatkan kepada semua ahli politik agar tidak mengambil kesempatan mempolitikkan setiap isu yang melibatkan agama Islam sehingga menjadi modal kepada persengketaan politik yang tiada berkesudahan.
“Isu agama adalah sesuatu yang boleh menjadi sensitif kepada umat Islam, oleh itu elakkanlah dari tuduh-menuduh antara satu sama lain atas isu agama yang pada asasnya boleh kita selesaikan secara bersama,” titah baginda.
Umat Islam juga diseru terus memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi teras kepada kemajuan negara.
Titah baginda, akar persaudaraan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Islam mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan kepada kemakmuran serta kedaulatan negara keseluruhannya.
“Berdasarkan hasrat itulah, perselisihan dan pertikaian yang muncul dalam kalangan masyarakat berkaitan apa-apa isu sekalipun, perlu diurus dengan penuh tertib, ketinggian hikmah serta bersikap adil kepada semua pihak,” titah baginda,.
Nnn
