PN anjur persidangan meja bulat

KUALA LUMPUR 15 Feb. – Perikatan Nasional (PN) akan menganjurkan Persidangan Meja Bulat membabitkan pakar perlembagaan dan perundangan Islam, ulamak dan ilmuwan Islam bagi mencadangkan tindakan susulan memperkasakan kedudukan perundangan syariah khususnya dan kepentingan umat Islam amnya.

Pengerusinya,  Muhyiddin Yassin, berkata, selain Persidangan Meja Bulat yang akan diketuai Idris Ahmad, bagi tujuan yang sama, PN juga mewujudkan Jawatankuasa Khas Teknikal dan Dokumentasi Undang-undang yang dipengerusikan oleh  Takiyuddin Hassan.

Katanya, keputusan itu diputuskan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikannya semalam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, Jumaat lalu.

Turut hadir pada mesyuarat itu Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau, dan ahli-ahli Majlis Tertinggi PN

Muhyiddin dalam kenyataan hari ini berkata, PN memandang serius keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan yang diyakini akan memberi kesan besar terhadap kedudukan dan skop undang-undang syariah di negara ini.

Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN juga sudah membincangkan dan memperhalusi secara khusus isu keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan baru-baru ini dan kesannya terhadap perundangan syariah, umat Islam dan masyarakat Malaysia amnya.

Jumaat lalu, panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara,  Tengku Maimun Tuan Mat dilaporkan membuat keputusan membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ia susulan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel dilaporkan berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.

Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan DUN terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan dalam enakmen itu adalah sah.

Related posts

Leave a Comment