Umat Islam perlu elak perbalahan secara terbuka

PUTRAJAYA 15 Feb. – Masyarakat Islam terutama golongan ulama dan ilmuan perlu mengelakkan perbalahan secara terbuka dalam perkara-perkara yang boleh diselesaikan dengan bermesyuwarah dan tertutup.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, mereka juga perlu sentiasa memelihara adab dalam memberi sesuatu pandangan bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan ummah.

Titah baginda, perbezaan pendapat perlu diraikan manakala perbezaan pandangan tersebut perlu diselesaikan secara ilmiah, berhemah serta melalui saluran yang betul.

“Rakyat terutama umat Islam sentiasa melihat dan memandang tinggi kepada ilmuan islam dan alim ulama dan sentiasa mengharapkan sesuatu ketetapan berkaitan sesuatu hukum itu dapat disepakati oleh semua.

Adalah menjadi harapan beta agar saranan dan nasihat beta ini dijadikan panduan ke arah perpaduan dan kesejahteraan umat Islam di negara ini,” titah baginda pada Mesyuarat MKI kali Ke-71, hari ini.

Dalam pada itu baginda turut menyentuh keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang, mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat.

Baginda mahu semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu sentiasa didokongi oleh rakyat Malaysia.

Titah baginda apa yang lebih penting ialah mencari jalan mengatasi permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut baginda, pelbagai pihak terutama ahli-ahli politik, pengamal undang-undang, para akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes tersebut.

“Terdapat ulasan yang memberi penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes tersebut,  terdapat juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan

Malah ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai detik “Black Friday” kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Selangor disembah maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam yang ditubuhkan atas titah baginda pada mesyuarat MKI ke-70 pada 28 Ogos 2023, sedang meneliti persoalan yang berbangkit.

Antaranya, melaksanakan kajian terhadap isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi termasuklah analisis terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada secara menyeluruh, mengkaji keputusan-keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkan isu-isu tersebut secara terperinci.

Begitu juga cadangan dan pengesyoran tentang kaedah penyelarasan yang terbaik dan harmoni terhadap isu kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan; dan mengkaji kaedah memperkasakan bidangkuasa Mahkamah Syariah.

“Jawatankuasa Khas ini telah diberi tempoh setahun dari tarikh ianya ditubuhkan untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.

“Beta menyeru dan menggesa semua pihak, termasuk pakar-pakar perundangan agar membantu Jawatankuasa Khas ini dengan memberikan cadangan-cadangan yang berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan Jawatankuasa Khas ini melaksanakan tugas mereka,” titah baginda.

Baginda juga menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari Jawatankuasa Khas berkenaan.

Related posts

Leave a Comment