GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan hampir tiada lagi perkhidmatan kesihatan yang masih berfungsi di utara Gaza, ketika Israel terus menyekat misi bantuan daripada memasuki wilayah itu.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Ghebreyesus berkata dua misi WHO ke utara Gaza disekat dan ditolak lagi oleh pendudukan Israel.
“Utara Gaza hampir tidak mempunyai perkhidmatan kesihatan lagi. Penduduk tiada tempat untuk pergi,” katanya dalam satu hantaran di platform X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.
Beliau menggesa Israel supaya menghentikan arahan pemindahan dan melindungi hospital.
Tedros turut menggesa Israel untuk memudahkan misi kemanusiaan, sambil menyatakan: “Nyawa bergantung kepada tindakan ini.”
Pada masa yang sama Ketua Pengarah WHO itu juga menyeru Israel untuk berusaha ke arah gencatan senjata dan menegaskan semua orang yang terperangkap dalam konflik ini memerlukan keamanan.
