Prabowo anggap kemenangan rakyat

JAKARTA 14 Feb. – Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto yang secara tidak rasmi memenangi pilihan raya presiden berikrar untuk membangunkan pemerintah yang terdiri daripada “warga Indonesia yang terbaik”.

Sambil menyifatkan ia adalah satu kemenangan bagi semua penduduk Indonesia, Prabowo yang bergandingan dengan Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Jokowi bersedia menjadi pemimpin untuk semua tanpa mengira latar belakang mereka.

Dalam ucapan kepada penyokongnya di Istora Senayan, malam ini, beliau bersyukur dengan keputusan pilihan raya itu tetapi mengingatkan semua supaya tidak sombong sebaliknya sentiasa rebdah hati dengan keputusan yang dicapai.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Prabowo memperoleh kira-kira 58 peratus undi berdasarkan kiraan empat badan peninjau bebas manakala undi yang dikira antara 78 hingga 93 peratus setakat pukul 8.33 malam.

Prabowo juga berharap semua pihak dapat menunggu keputusan rasmi Komisi Pemilihan Umum (KPU) yang dijadualkan pada Mac ini.

Menurut tinjauan pendapat bebas yang menjalankan kiraan pantas, yang dalam pilihan raya sebelumnya terbukti tepat, saingan Prabowo, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo masing-masing mengekori kira-kira 25 peratus dan 17 peratus.

Sementara itu, pesaing Prabowo iaitu Anies dan Ganjar menggesa orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan mengenai keputusan itu dan menunggu keputusan rasmi, yang dijangka selewat-lewatnya 20 Mac.

Pasukan kempen Ganjar dan Anies berkata mereka sedang menyiasat laporan pelanggaran akta pilihan raya, kedua-duanya menyifatkannya sebagai penipuan struktur, sistematik dan besar-besaran.

Mereka bagaimanapun tidak memberikan bukti atas dakwaan itu.

Untuk menang dalam satu pusingan, calon memerlukan lebih 50 peratus undi dan sekurang-kurangnya 20 peratus undi di separuh wilayah.

Jika tiada calon yang memenangi majoriti, perebutan jawatan antara dua pemenang teratas akan diadakan pada Jun.

“Kami yakin ini adalah kemenangan satu pusingan untuk Prabowo dan Gibran,” kata Ahmad Muzani, setiausaha agung parti Prabowo.

Pilihan raya sehari terbesar di dunia itu membabitkan hampir 259,000 calon yang bersaing untuk 20,600 jawatan di seluruh kepulauan yang terdiri daripada 17,000 pulau.

Related posts

Leave a Comment