Juruterbang helikopter terbunuh

BIDOR 12 Sept. – Juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur dan dipercayai terhempas di Bidor semalam ditemukan maut di lokasi kejadian, kata Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri.

Menurut Mohd Yusri, mayat juruterbang itu ditemukan dalam kokpit helikopter berkenaan oleh pasukan pencari dan penyelamat pagi ini dan tiada kesan letupan atau kebakaran di kawasan berkenaan.

Katanya, helikopter milik pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menemui lokasi nahas kira-kira pukul 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus di sini dan lima minit kemudian, krew TUDM turun ke lokasi nahas dan menemui mangsa yang berada dalam kokpit.

“Mayat kemudian dibawa keluar dari lokasi kejadian jam 10.12 pagi dan seterusnya dibawa ke SMK Anderson menggunakan sebuah ambulans, sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat. Kecederaan dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Balai Polis Bidor, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati juruterbang Tsz Kin Richard Chan, 58, adalah warganegara Hong Kong dan keluarganya telah dimaklumkan oleh pihak syarikat.

Katanya, bangkai pesawat jenis Eurocopter milik sebuah syarikat swasta itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Semalam, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat itu terputus hubungan pada pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.

Sementara itu Wee dalam hantaran terbaharu di Facebook memaklumkan, pihaknya masih menunggu laporan hospital untuk mengesahkan punca dan waktu kematian mangsa, selain telah mengarahkan CAAM untuk menyediakan laporan lengkap.

CAAM pula dalam kenyataannya memaklumkan siasatan mengenai kejadian akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia, mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

(Foto Bomba)

Related posts

Leave a Comment