KARACHI 14 Feb. – Gabungan parti diketuai Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) bersedia membentuk kerajaan baharu untuk tempoh lima tahun selepas mendapat sokongan ahli Parlimen baru sekaligus untuk majoriti mudah di Dewan Negara.
Susulan itu pemimpin PML, Nawaz Sharif 74, mencalonkan adik lelakinya Shehbaz, 72, yang juga bekas Perdana Menteri sebelum pilihan raya sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan itu.
Walaupun tidak melantik dirinya sebagai Perdana Menteri, Nawaz bagaimanapun menamakan anak perempuannya, Maryam, 50 , sebagai Ketua Menteri Punjab, wilayah paling ramai penduduk dan kubu kuat kuasa politik keluarga Nawaz,
Shehbaz sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri selepas penyingkiran Imran Khan adalah Ketua Menteri Punjab.
Pilihan raya umum 8 Februari lalu menyaksikan Parlimen digantung berikutan tiada parti memperoleh dua pertiga kerusi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, mencetuskan perlumbaan sengit dalam membentuk pakatan.
Menurut pengiraan terkini diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan, gabungan pimpinan PML-N, yang turut merangkumi Parti Rakyat Pakistan (PPP), Pergerakan Muttahida Qaumi (MQM), dan beberapa parti yang lebih kecil, mempunyai gabungan kekuatan lebih 150 daripada 266 kerusi Dewan Negara.
Shehbaz kekal sebagai perdana menteri kerajaan campuran dengan hampir parti yang sama selama 16 bulan, dari April 2022 hingga Ogos 2023, berikutan penyingkiran Imran Khan melalui undi tidak percaya.
Untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, sebuah parti memerlukan 134 kerusi yang boleh dikira sebagai 169 ahli Parlimen selepas memperuntukkan ahli kepada kerusi rizab untuk wanita dan minoriti agama dalam Dewan Negara.
PML-N, PPP dan MQM masing-masing mendapat 75, 54 dan 17 kerusi, dalam pilihan raya minggu lalu.
Enam penggubal undang-undang bebas juga telah menyertai PML-N, meningkatkan kekuatannya kepada 81.
Walaupun calon Bebas yang disokong oleh Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan Imran Khan memenangi 93 kerusi, jumlah tertinggi ahli Parlimen, parti itu tidak dapat membentuk gabungan dengan parti lain untuk mencapai majoriti mudah.
Dewan Negara mempunyai 336 kerusi, 60 dikhaskan untuk wanita dan 10 untuk minoriti agama.
Ini diagihkan secara berkadar dalam kalangan parti berdasarkan prestasi pilihan raya mereka. Mana-mana parti yang mahu ketuanya menjadi perdana menteri memerlukan 169 undi di Dewan.
Semalam, PTI mengumumkan calon bebas gabungannya akan “membentuk kerajaan gabungan” dengan dua parti agama politik, Majlis Wahdat-e-Muslimeen (MWM) di tengah dan wilayah timur Punjab, dan Jamaat-e-Islami (JI) di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Bagaimanapun, rancangannya itu terjejas apabila JI enggan bergabung dengan PTI.
Calon PTI bertanding dalam pilihan raya sebagai calon bebas berikutan keputusan mahkamah tertinggi negara, yang membuang simbol parti daripada kertas undi kerana gagal mengadakan pemilihan dalam parti tepat pada masanya.
Ini juga menghalang PTI daripada mendapat manfaat daripada 70 kerusi yang dikhaskan untuk wanita dan minoriti.
Nnn
