MELAKA 14 Feb. – Dr Muhamad Akmal Saleh tidak akan meminta maaf terhadap Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming seperti gesaan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui susulan isu Kampung Baru Cina di Selangor.
Ketua Pemuda UMNO itu dalam satu kenyataan berkata, hasrat Ahli Parlimen itu hanyalah mimpi dan tidak akan terjadi (permohonan maaf).
“Sendiri keluar kenyataan. Lepas tu kena bantah,then konon-konon jadi mangsa keadaan. Nak saya minta maaf?? Teruskan bermimpi,kerana itu tidak akan terjadi!!!,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.
Dalam laporan media hari ini, Yu Hui menggesa Dr Muhamad Akmal membuat permohonan maaf terhadap Kor Ming.
Ia susulan isu cadangan Kor Ming yang mahu mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Menurut Yu Hui, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga perlu bertindak terhadap Akmal kerana kenyataannya mengenai tawaran ‘pembelajaran sejarah’ kepada Kor Ming telah merosakkan hubungan kerjasama antara UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
“UMNO tidak sepatutnya menimbulkan sentimen negatif terhadap cadangan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan dalam isu ini,” kata Yu Hui.
Dr Muhamad Akmal yang juga Exco kerajaan Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menyentuh perkara sensitif berkaitan Melayu dan Bumiputera.
“Sekali lagi saya ulang,jika sesiapa yang sentuh perkara yang sensitif terhadap orang Melayu dan Bumiputera,kami tidak akan teragak-agak untuk menentang sekerasnya tidak kira siapa anda!!!,” katanya.
