Dua mangsa terakhir tanah runtuh ditemukan

CAMERON HIGHLANDS 27 Jan. – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan malam ini selepas dua mangsa terakhir kejadian tanah runtuh di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands ditemukan pada pukul 6.10 petang dan 6.50 petang.

Kedua-duanya dikenal pasti sebagai Shing Law Har, 56, dan wanita, Om Myu, 37. dengan selang lima meter, menjadikan semua mangsa sudah ditemukan.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Azri Ramli, mengumumkan operasi SAR ditamatkan selepas operasi bermula kira-kira pukul 3 pagi semalam.

Bercakap pada sidang media malam ini, beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemukan di lokasi pencarian zon D dan zon C dengan jarak kira-kira 30 meter dari lokasi penemuan mangsa sebelum ini.

Katanya, semua mangsa adalah warga Myanmar dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di sini untuk bedah siasat dan pengesahan identiti,” katanya.

Dua mayat pertama yang ditemukan semalam ialah Law Ha Phey, 36 dan Ki Shing Om, 48, manakala mangsa ketiga ditemukan kira-kira 12.15 tengah hari ini, Thang Moung, 25.

Azri berkata, identiti semua mangsa akan disahkan oleh Jabatan Forensik dan sudah dimaklumkan ke kedutaan Myanmar di Malaysia untuk tindakan susulan.

Related posts

Leave a Comment