Bersihkan parti sempena ulang tahun

KUALA LUMPUR 11 Mei – UMNO memerlukan suntikan semangat baharu sempena ulang tahun ke-76 dengan  ‘membersihkan’ parti itu supaya ia muncul kembali sebagai jaguh dalam perjuangan kepada agama, bangsa dan negara.

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, semua pemimpin dan anggota UMNO perlu berani “membersihkan” parti keramat itu dari sebarang kekotoran akibat rasuah dan salah guna kuasa.

“Hanya dengan usaha membersihkan parti itu sahaja, anak-anak muda di negara ini akan bersedia untuk mewarisi kepemimpinan parti keramat yang begitu banyak berjasa kepada bangsa, negara dan agama,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, imej UMNO sekarang menjadi buruk di mata rakyat apabila beberapa pemimpin parti terpalit dengan isu penyelewengan dan rasuah.

Beliau berkata, parti keramat itu mula hilang pengaruh dan seterusnya ditolak oleh rakyat untuk menjadi kerajaan pada pilihan raya umum 2018 dan UMNO kini hanya memimpin kerajaan dengan sokongan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Mohd Yussof, jika UMNO mahukan sokongan padu orang Melayu, UMNO harus bersikap terbuka dan pemimpin-pemimpinnya harus berjiwa besar untuk menerima teguran dan kritikan.

Malahan mereka juga perlu sedia berundur jika mereka dinasihat, diminta mahupun didesak untuk berbuat demikian demi menyelamatkan parti” kesayangan orang Melayu.

“Usaha untuk meremajakan UMNO gagal apabila ramai anak muda Melayu yang terpelajar hasil jasa dan perjuangan UMNO tidak ditarik menyertai kepemimpinan UMNO di peringkat cawangan, bahagian seterusnya kebangsaan,” katanya.

Veteran UMNO itu menarik perhatian mengenai masih ada pemimpin UMNO yang memegang jawatan sejak berpuluhan tahun, pernah menjadi Menteri, direhatkan dari Kabinet, dilantik semula menjadi Menteri sehingga rakyat bosan dan mual.

“Tetapi mereka (dilantik semula) masih berbangga kerana mampu menjadi Menteri setelah berdamping dengan sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri.

“Sudah-sudahlah, berilah laluan kepada generasi baharu. Cukuplah sekadar menjadi penasihat. Anda memegang jawatan dari rambut yang hitam lebat sehingga menjadi rambut yang jarang dan putih. Tidak perlu bermain politik, “ katanya.

Menurut Yussof, jika UMNO mahu kembali mentadbir negara bersama Barisan Nasional (BN), pemimpinnya harus membuktikan sikap keterbukaan, berintegriti, jujur, ikhlas dan amanah dan tidak pentingkan diri untuk mengaut kekayaan peribadi.

Related posts

Leave a Comment