Koperal Mazlan naik pangkat sarjan

PORT DICKSON 27 Jan. – Koperal Mazlan Abdul Rahman, anggota tentera yang menyelamatkan dua mangsa kejadian terjatuh laut di Jambatan Pulau Pinang, dinaikkan pangkat kepada sarjan.

Pemakaian pangkat disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson, hari ini.

Perwira Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) itu turut dianugerahkan Pisau Tentera Darat sebagai pengiktirafan dan penghormatan atas keberaniannya.

Muhammad Hafizuddeain berkata, keberanian Mazlan satu teladan yang baik dan amat membanggakan Tentera Darat.

“Apa yang dilakukan itu menunjukkan teladan bagaimana seorang anggota yang memiliki sifat keberanian dan pengorbanan menzahirkan nilai etos kepahlawanan dengan tindakan beraninya walaupun tahu ada bahaya,” katanya selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 198/23 di sini.

Muhammad Hafizuddeain berkata, apa yang dilakukan oleh Mazlan ialah hasil latihan diterima sepanjang perkhidmatan dalam Tentera Darat.

Pada 15 Januari lalu, Mazlan dilaporkan bertindak nekad terjun di Jambatan Pulau Pinang bagi menyelamatkan dua individu yang dipercayai terjatuh ke dalam laut.

Related posts

Leave a Comment