Teman lelaki didakwa bunuh Bella

BATU PAHAT 24 Jan. – Mohammad Haikal Mahfuz, 24, teman lelaki kepada Bella atau nama sebenar Mila Sharmila Samsusah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh wanita itu, bulan lalu.

Dia mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Asidah A Rahman namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, bekas posmen itu didakwa membunuh Mila Sharmila, 32, antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah.

Kejadian itu berlaku pada pukul 11 malam hingga 5 pagi, antara 14 hingga 15 Disember lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili Syahril Anuar.

Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen dan laporan perubatan.

Terdahulu, Mohammad Haikal tiba di mahkamah pada pukul 8.20 pagi dengan kawalan ketat pasukan keselamatan.

Related posts

Leave a Comment