Daim sedia didakwa walaupun di hospital

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin, sedia berdepan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun dibuat di hospital.

Isterinya, Naimah Khalid, menegaskan sebelum ini suaminya bersama pasukan peguam hanya diberitahu untuk diambil keterangan oleh SPRM, bukan didakwa di mahkamah.

“Kami hanya diberitahu hanya keterangan akan diambil daripada beliau (Daim). Hanya hari ini, saya mengetahui Daim akan didakwa berdasarkan laporan media.

Daim bersedia berdepan pendakwaan politik ini di hospital,” katanya dalam kenyataan.

Naimah menegaskan, suaminya bersedia berdepan apa jua pendakwaan untuk mempertahankan dirinya mengikut undang-undang.

Terdahulu, pagi ini Ketua Pesuruhjaya SPRM,  Azam Baki, dilaporkan berkata SPRM sudah mendapat kebenaran Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa Daim.

Bagaimanapun, Azam berkata, pendakwaan di mahkamah tidak dapat dibuat selepas Daim yang berusia 84 tahun itu, dimasukkan ke sebuah hospital swasta.

“Kami dapat kelulusan untuk mendakwa Daim sejak seminggu lalu. Apabila pegawai penyiasat memaklumkan peguamnya bahawa Daim perlu hadir ke mahkamah, peguam itu beritahu SPRM bahawa Daim telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta.

“Kami buat semakan, Daim memang dimasukkan ke hospital sebelum kami dapat kelulusan untuk mendakwa. Bagaimanapun, sehingga hari ini, kami tidak dapat memastikan mengapa dia dimasukkan ke hospital kerana doktor yang merawatnya tidak mendedahkan apa yang tidak kena dengan Daim,” katanya.

Azam berkata, Daim dijangka berdepan dengan sekurang-kurangnya satu pertuduhan kerana gagal mengisytiharkan beberapa hartanah yang dimiliki bersama isterinya.

Katanya, berdasarkan situasi Daim, SPRM juga boleh membawa seorang hakim ke hospital yang menempatkan beliau supaya pertuduhan dapat dibacakan.

Bagaimanapun, Azam menegaskan, langkah itu bukan pilihan pertama pihaknya melainkan keadaan memerlukannya.

Mengulas lanjut kenyataan Azam itu, Naimah berkata, sindiran yang dibuat Azam yang Daim cuba mengelak daripada didakwa dengan dimasukkan ke hospital adalah palsu dan nakal.

Katanya, kenyataan itu juga menyinggung perasaan iaitu kata-kata penghinaan terhadap doktor yang berdedikasi dan profesional di hospital ini.

Na’imah menegaskan, Daim bersedia untuk menghadapi sebarang pertuduhan di mana-mana saja dan akan bersungguh-sungguh mempertahankan dirinya mengikut undang-undang.

“Beliau dimasukkan ke wad dan sedang menjalani rawatan. Tertakluk kepada kebenaran hospital dan pasukan perubatan, Daim bersedia untuk menghadapi tuduhan politik ini di hospital itu sendiri.

“Kita serahkan kepada Azam dan SPRM untuk membuat keputusan,” kata

Naimah yang didakwa di Mahkamah Sesyen semalam kerana gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan harta.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment