Motif bunuh Bella cemburu, sakit hati

JOHOR BAHRU 24 Jan. – Motif pembunuhan Bella atau nama sebenarnya Mila Sharmila Samsusah, 32 adalah kerana cemburu dan sakit hati, kata Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.

Beliau juga mendedahkan kematian Bella disebabkan keretakan di kepala mangsa akibat objek tumpul.

“Motif pembunuhan Bella adalah kerana kes cemburu dan sakit hati. Daripada motif itulah kita memulakan dan mendapat bayangan siasatan kita, jadi inilah motif yang kita tahu menerusi siasatan dibuat,” katanya selepas majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, Timbalan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Bella dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu selepas keluar ke kedai dobi bersama teman lelakinya.

Kehilangan ibu tunggal yang mempunyai dua anak, Eusof Abdul Fatah, 4, dan Maream Isabel, 2, hanya disedari pada keesokan hari selepas mesej dan panggilan telefon dihantar kakaknya, Norhisham, tidak dijawab.

Polis kemudian menahan teman lelaki Bella berusia 24 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan turut menahan dua lagi individu dipercayai ada kaitan dengan kehilangan Bella bagi membantu siasatan.

Jumaat lalu, rangka seorang wanita ditemukan di sebuah rumah terbiar di Batu 7, Tongkang Pechah, selepas suspek ditahan sebaik tiba di tanah air selepas menunaikan umrah bersama keluarga.

Mengenai dakwaan netizen yang tular di media sosial kononnya Bella mengandung, beliau berkata, hanya laporan bedah siasat menyeluruh yang dapat menentukan perkara itu.

“Disebabkan kita jumpa rangka saja, perkara itu tidak dapat disahkan. Sama ada mangsa mengandung atau tidak, laporan bedah siasat menyeluruh akan menentukannya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment