Lagi ahli Parlimen Bersatu sokong Anwar

TANJONG KARANG 24 Jan. – Seorang lagi wakil rakyat Bersatu, Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, keputusannya itu bagi memastikan nasib dan pembangunan penduduk di Parlimen yang diwakilinya terus terbela dan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan infrastruktur dan keperluan setempat.

“Pengisytiharan sokongan kepada kepemimpinan perdana menteri ke-10 adalah tanpa paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak dan saya lakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjoong Karang,” katanya.

Beliau juga menyatakan sokongan kepada dasar dan inisiatif kerajaan Madani yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi dan kepentingan rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Zulkafperi menegaskan beliau masih setia kepada partinya Bersatu.

“(Saya) tidak akan mengkhianati parti Bersatu namun demi memastikan kelangsungan (kawasan parlimen) Tanjong Karang seiring dengan pemerintahan peringkat persekutuan, adalah wajar untuk saya bersama dengan kepimpinan Putrajaya yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Sebelum ini, lima ahli parlimen Bersatu telah mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar, iaitu Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Related posts

Leave a Comment