Tangani perasaan, elak masalah kesihatan mental

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) — Bimbang, risau, takut dan cemas kerana pandemik wabak COVID-19 atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

Itu merupakan simptom normal manusia ketika keadaan krisis, namun ia boleh mengakibatkan masalah kesihatan mental jika perasaan itu berpanjangan dan tidak dikawal serta ditangani dengan betul.

Pensyarah Kanan Unit Pakar Kesejahteraan dan Kaunseling (PKPK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai berkata oleh itu, rakyat Malaysia harus mengamalkan pemakanan sihat, bersenam di rumah dan berhubung dengan orang lain melalui media sosial ketika PKP.

“Masyarakat juga akan terus mempunyai perasaan cemas dan takut kerana sering terdedah dengan berita palsu di media sosial. Apabila kita selalu hendak mendapatkan info terkini mengenai COVID-19, kita akan berasa cemas, lagi-lagi membaca berita palsu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Abdul Rahman berkata bagi membantu rakyat Malaysia yang mengalami masalah kesihatan mental ketika krisis COVID-19 dan pelaksanaan PKP, UKM menyediakan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial.

Katanya, rakyat Malaysia yang memerlukan sokongan mental boleh mendapatkan perkhidmatan yang disediakan termasuk Pertolongan Psikologi Pertama atau Psychological First Aid (PFA) iaitu respons untuk menenangkan emosi ketika krisis atau bencana.

“Kebiasaanya, kami mengamalkan prinsip 3L iaitu look (melihat), listen(mendengar) dan link (menghubungkan) ketika memberi PFA. Namun, dalam situasi sekarang, kami hanya mendengar dan menghubungkan,” katanya.

Pakar Perunding Psikologi itu menjelaskan pihaknya menerima beberapa panggilan orang ramai khususnya daripada individu yang risau mempunyai simptom COVID-19 dan individu yang tinggal berseorangan di rumah.

Beliau berkata seramai tujuh pelajar Sarjana Psikologi UKM yang telah mendapat latihan psikologi terlibat dalam pemberian sokongan mental itu.

“Kami akan mendengar masalah dan akan menghubungkan mereka berdasarkan gangguan emosi yang dihadapi,” katanya sambil menjelaskan jika seseorang mempunyai sejarah kesihatan mental seperti kemurungan atau tekanan, ia berkemungkinan akan memuncak ketika PKP.

Orang ramai boleh menghubungi 03-20225529 dari Isnin hingga Jumaat (9.00 pagi hingga 6.00 petang) bagi mendapatkan bantuan kesihatan mental UKM.

— BERNAMA

Related posts

Leave a Comment