PUTRAJAYA 24 Jan. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) ada menjalankan siasatan terhadap akuan bersumpah (SD) bekas Penolong Gabenor Bank Negara (BNM), Abdul Murad Khalid terhadap Anwar Ibrahim.
Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini berkata BPR membuka enam kertas siasatan untuk menyiasat Anwar susulan akuan bersumpah Abdul Murad yang dikeluarkan pada 26 Oktober 1999.
“Siasatan dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan terperinci dengan bantuan BNM termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Singapura.
Hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Datuk Seri Anwar.
Sehubungan itu, enam kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 12 Ogos 2002 dan Pejabat Peguam Negara telah memutuskan tiada pertuduhan dikenakan kepada mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Justeru, SPRM memandang serius kenyataan dibuat bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada sidang medianya kelmarin yang disifatkan sebagai tohmahan.
“Tun Mahathir telah membuat tohmahan bahawa SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dalam akuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Sehubungan itu, SPRM menekankan dakwaan BPR/SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung akuan bersumpah Abdul Murad adalah tidak benar sama sekali.
Malah perkara tersebut berlaku semasa kepemimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Dr Mahathir dalam sidang media kelmarin mempersoalkan kegagalan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Abdul Murad berhubung SD dibuatnya pada 1999.
Abdul Murad pada ketika itu mendakwa Anwar yang juga pembangkang memiliki RM3 bilion dalam lebih 20 akaun bank.
