Pihak ada kuasa lebih sukar disiasat

PUTRAJAYA 23 Jan. – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, adalah lebih sukar menyiasat mereka yang berkuasa terutama perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri kanan dan Ketua Pesuruhjaya SPRM berbanding yang bergelar Tun.

Justeru bekas Perdana Menteri dua kali itu menafikan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kelmarin bahawa adalah sukar untuk menyiasat orang kenamaan termasuk yang ada gelaran Tun.

Sebaliknya Dr Mahathir berkata, beliau sentiasa bersedia untuk disiasat jika benar wujudnya salah laku sepanjang beliau mentadbir negara sebelum ini.

“Saya tidak setuju dengan kenyataan tidak mudah siasat Tun kerana saya mudah disiasat kerana kerajaan mempunyai kuasa, saya tiada kuasa.

Saya ada rumah, duit ada sikit. Saya ini, tiada siapa buat tuduhan. Jika ada tuduhan, mesti ada siasatan. Jika ada bagitahulah saya, jadi saya boleh bersedia untuk melindungi dan mempertahankan diri di mahkamah.

“Saya tahu apa yang saya lakukan ini (membuat kenyataan ini), …orang ingat saya takut kena penjara. Saya dah berusia 98 tahun, kalau masuk penjara, mati dalam penjara…. Jika sudah mati, tidak perlu disiasat,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar yang dilaporkan berkata, bukan mudah untuk menjalankan siasatan terhadap golongan kenamaan.

Anwar dilaporkan berkata, beliau meminta rakyat menyokong usaha kerajaan dalam menyiasat golongan atasan termasuk individu yang bergelar Tun berhubung kecurian dana kerajaan.

Pada sidang media sama Dr Mahathir turut mempersoalkan kenapa hingga kini tiada siasatan dibuat terhadap bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Murad Khalid berhubung akuan berkanun (SD) yang dibuat pada 1999.

Ketika itu, Abdul Murad mendakwa Anwar yang ketika itu menjadi pembangkang mempunyai RM3 bilion dalam lebih 20 akaun bank.

“Anwar, Ahmad Zahid, Azam Baki bukan Tun tetapi mereka tidak boleh disiasat, …Anwar dihadapkan dengan tuduhan oleh Abdul Murad namun yang saya tahu tiada siasatan.

“Kenapa beliau tidak disiasat. Ini adalah akuan berkanun, …begitu juga dengan kes Timbalan Perdana Menteri walaupun ada 47 kes, tiba-tiba pendakwaan dihentikan.

“Dalam kes Azam Baki, apabila beliau beli syer yang banyak dan dikatakan milik adiknya, sepatutnya adik beliau perlu disiasat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir turut secara sinis, meminta pihak luar negara yang ingin berurusan dengan kerajaan supaya tidak datang ke Malaysia bagi mengelakkan daripada dikenakan siasatan.

Beliau mendakwa, undang-undang kini sudah disalahgunakan bagi kepentingan politik di mana pihak yang menentang kerajaan akan diambil tindakan.

Related posts

Leave a Comment