Pemilik terkejut rumah didiami warga asing

SEPANG 21 Jan. –  Rumah kosong jangan dibiar begitu sahaja, tanpa pengawasan supaya tidak diceroboh orang dan dijadikan kediaman ‘milik sendiri’.

Itu mesej yang ingin disampaikan oleh pemilik akaun Facebook Srilabu Kedah, yang mendedahkan sebuah rumah jenis pangsapuri di Puchong Selangor yang dibiarkan kosong selama 10 tahun diceroboh dan didiami warga asing.

Kisah itu terbongkar apabila kenalan kepada Srilabu Kedah meminta beliau menjualkan rumah jenis pangsapuri berkenaan milik sahabat kenalannya yang tinggal di Pantai Timur.

“Aku tanya rumah siapa tinggal sekarang? Owner (pemilik) kata rumah kosong dah beberapa tahun. Dari beli tak duduk, sebab dia lebih suka duduk di kampung,” katanya melalui Facebook.

Selepas menerima kunci unit itu, Srilabu yang tinggal di Seremban 2 datang meninjau rumah berkenaan yang dikatakan dibiarkan kosong  untuk mengetahui keadaannya sebelum urusan penjualan dilakukan.

Katanya, ketika meninjau kediaman itu, beliau terkejut mendapati rumah berkenaan didiami warga asing.

Perkara itu kemudiannya dimaklumkan kepada pemilik rumah yang juga terkejut dengan maklumat itu.

Menurut catatan Srilabu,, warga asing yang mendiami rumah itu tidak boleh bertutur bahasa Melayu atau bahasa Inggeris menyebabkan beliau  tidak dapat berkomunikasi dengan mereka.

Katanya, tindakan warga asing menceroboh dan tinggal di rumah rakannya itu menunjukkan kumpulan terbabit semakin berani melakukan perkara yang bertentangan undang-undang.

“Mereka ceroboh masuk rumah orang macam itu saja, kita warga sendiri (tempatan) pun tak berani buat seperti itu. Bekalan air ke rumah itu diambil secara sambungan dari rumah sebelah, tetapi saya tak mengetahui bagaimana mereka mendapatkan bekalan elektrik,” katanya.

Beliau kemudian bercakap dengan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh yang juga penyelia warga asing itu dan memaklumkan mereka sudah lama tinggal di rumah berkenaan secara percuma tanpa gangguan sesiapa.

Katanya, apa yang mengejutkan apabila warga asing terbabit memintanya menunjukkan bukti beliau mewakili pemilik dan rumah itu adalah milik pemilik berkenaan..

“Apa nak jadi dengan Malaysia sekarang? Saya sudah minta pemilik rumah membuat laporan polis dan saya sendiri juga akan melaporkan kes ini kepada pihak imigresen.

“Saya minta anda semua kongsikan cerita ini, kita nak semua orang peka terutama mereka yang ada rumah kosong kerana bimbang ia diceroboh dan didiami warga asing,” katanya.

Related posts

Leave a Comment