50 kes penyamaran dalam tempoh 20 hari

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Sebanyak 50 kes penyamaran sebagai kenalan di media sosial dilaporkan dalam tempoh 20 hari tahun ini dengan kerugian RM238,732, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 494 kes dilaporkan di seluruh negara melibatkan kerugian RM2,503,803.05.

Katanya, modus operandi yang digunakan sindiket penipuan adalah menyamar sebagai rakan atau kenalan di media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Telegram dan sebagainya.

“Berdasarkan siasatan, sindiket itu didapati menggodam akaun media sosial milik mangsa dan menghubungi rakan mereka (mangsa) untuk meminjam wang.

“Pemilik akaun media sosial berkenaan hanya menyedari akaun mereka digodam apabila ia tidak dapat diakses atau menerima panggilan daripada kenalan yang bertanyakan mengenai kesahihan pinjaman wang itu,” katanya.

Ramli menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya terhadap mesej pinjaman wang diterima daripada rakan atau kenalan terutama akaun bank digunakan adalah milik orang lain.

“Apa pun alasan mereka, lakukan semakan dengan menghubungi kenalan itu bagi mengesahkan perkara berkenaan

“Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan sebarang pertanyaan kepada CCID (JSJK) Infoline di talian 013-2111222,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment