RM9.4 juta subsidi bakal jemaah B40

SEPANG 19 Jan. – Kerajaan akan menanggung kos sebanyak RM9.4 juta susulan pemberian subsidi sebanyak RM1,000 bagi setiap jemaah golongan B40 yang bakal menunaikan haji buat pertama kali musim haji 1445H/2024M.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, bantuan kewangan haji secara bersasar seperti diberikan pada tahun lepas adalah sebagai keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

“Dengan bantuan ini, setiap bakal haji kumpulan B40 hanya perlu membayar RM12,356 daripada jumlah keseluruhan RM13,356,” katanya selepas merasmikan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Pengelola Jemaah Haji (Karnival PJH) 1445H/2024M di sini hari ini.

Penganjuran Karnival PJH kali kedua itu dianjurkan TH dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) selepas kejayaan penganjuran sulungnya pada tahun lalu.

Pada tahun ini sebanyak 25 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH), termasuk Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) diberikan lesen untuk mengendalikan haji pada musim haji tahun ini.

TH hari ini mengumumkan kadar bayaran haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM12,356, manakala RM19,152 bagi kumpulan M40.

Kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji tahun ini pula meningkat kepada RM33,300 berbanding RM30,850 tahun lalu.

Tahun ini TH memperuntukkan bantuan kewangan haji sehingga 63 peratus daripada kos haji untuk golongan B40, dan 42 peratus bagi M40 manakala bagi

golongan T20 pula, jemaah dikehendaki membuat bayaran penuh iaitu RM33,300.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Na’im menasihatkan bakal jemaah haji termasuk yang mendapat visa Furada atau Mujamalah supaya memilih pakej disediakan mana-mana 25 syarikat PJH yang dilesenkan TH bagi memudahkan pemantauan serta mengelak kes penipuan pakej haji.

Beliau berkata semua syarikat yang dilesenkan itu memiliki kapasiti teguh, kepakaran, pengalaman mencukupi, berwibawa dalam memberikan perkhidmatan terbaik serta mampu menjaga kebajikan jemaah haji ketika berada di Tanah Suci.

Antara 25 syarikat PJH yang dilesenkan TH ialah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Al-Balad Travel & Tours Sdn Bhd, Felda Travel Sdn Bhd, JAD Travel & Tours (M) Sdn Bhd dan Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd.

Related posts

Leave a Comment