Tarif air meningkat 25 sen satu meter padu

JOHOR BAHRU 18 Jan. – Tarif baharu air di negeri ini meningkat 25 sen kepada RM1.05 satu meter padu mulai bulan depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn Bhd, Muhamad Faizal Aliar.

Beliau berkata, kali terakhir pelarasan tarif air itu adalah pada tahun 2015, iaitu sembilan tahun yang lalu.

Dalam satu kenyataan malam ini, beliau berkata, bagi penggunaan kategori domestik (meter individu), penggunaan dari 0 meter padu sehingga 20 meter padu adalah daripada 80 sen kepada RM1.05 untuk satu meter padu.

Bagi penggunaan 20 hingga 35 meter padu naik dari RM2 kepada RM2.35 untuk satu meter padu, penggunaan air melebihi 35 meter padu berubah daripada RM3 kepada RM3.15 untuk satu meter padu.

Manakala kadar minimum bagi kategori domestik (meter individu) berubah dari RM7 kepada RM10.50.

“Bagi kategori domestik meter pukal pula, kadar rata berubah dari RM1.60 kepada RM2.55, manakala kadar minimum bagi kategori domestik (meter pukal) juga mengalami perubahan dari RM16 kepada RM25.50,” katanya.

Muhamad Faizal berkata, implimentasi pelarasan tarif air baharu itu dilakukan secara inklusif dan melalui penelitian terperinci supaya ia tidak memberi bebanan kepada pengguna domestik.

Katanya, hakikat era baharu perbekalan air memerlukan suntikan tarif air yang realistik dalam mendepani cabaran membekalkan air bersih supaya lebih berdaya maju.

“Pelarasan tarif air yang baharu ini memberi kesan positif kepada Ranhill SAJ untuk meneruskan inisiatif program penggantian paip lama selain penaiktarafan sistem bekalan air di Johor.

“Kami juga akan memperluaskan pemberian rebat air sebanyak 25 meter padu kepada penerima bantuan e-kasih dan meningkatkan mutu perkhidmatan serta menampung kenaikan,” katanya.

Ranhill SAJ juga mengajak pengguna mengamalkan penggunaan air secara berhemat dengan mengamalkan beberapa langkah seperti peranti penjimatan air serta alternatif  lain yang membawa kepada penjimatan penggunaan air.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment