JOHOR BAHRU 3 Ogos – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, menasihatkan supaya penggal Pilihan Raya Umum Ke-15 ditamatkan sehingga hujung tahun depan sebelum PRU16 diadakan selewat-lewatnya awal 2028.
Justeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim wajar menangguhkan PRU16 daripada diadakan dalam masa terdekat jika tidak mahu Pakatan Harapan (PH) kalah.
Katanya, penangguhan itu wajar dibuat susulan kekalahan berturut-turut PH dalam Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) bermula di Sabah, Johor dan terkini di Negeri Sembilan.
“Dalam tempoh berbaki 18 bulan lagi (sebelum PRU16 diadakan) adalah faktor penentu aset (usaha) kerajaan iaitu ekonomi yang membuahkan hasil dan dapat dilihat oleh rakyat.
Pada masa ini rakyat masih tidak dapat melihat secara langsung kesan kekuatan ringgit Malaysia yang semakin baik dan kadar inflasi rendah negara.
“Jadi, dalam tempoh ini, kerajaan boleh membaiki prestasi dan kelemahan termasuk membuktikan hasil daripada usaha yang sudah dilakukan sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan sampan kepada sukarelawan skuad bencana dan minum pagi bersama-sama komuniti flat Taman Molek, di sini hari ini.
Hassan berkata, strategi kempen yang betul juga perlu dilakukan dan bukan seperti dalam PRN Negeri Sembilan apabila cuba memainkan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang dianggap tidak sesuai pada masanya.
“Orang PKR, orang PH marahlah bila saya cakap macam begini. Macam RCI Tabung Haji, kenapa bila nak PRN Negeri Sembilan baru nak dedahkan? Benda tu dah siap bertahun lalu. Jadi, bila dedah waktu nak pilihan raya, dua hari lagi nak mengundi, orang nampak (agenda di sebaliknya), rakyat bukan bodoh. Ini ada udang di sebalik apalah kan. Jadi tak cantiklah.
“Kalau betul-betul benda tu dah ada, bentanglah, apa nak tunggu? Akhirnya siapa, nak jaga Timbalan Perdana Menteri, (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi ke, kepimpinan UMNO yang ada DNAA (keputusan lepas tanpa dibebaskan) ke, apa ya? Akhirnya mereka melawan juga.
“Mereka tikam Anwar dari belakang. Anwar ni baik sangatlah. Dia jaga hati, jangan dedahkan RCI, takut kawan-kawan daripada parti rakan itu. Tapi sudahnya apa jadi? Di Johor macam mana, di Negeri Sembilan macam mana? Jadi, baik hati Anwar tu tak tak berbalaslah,” katanya.
Nnnn
