JAKARTA 18 Jan. – Indonesia hari ini menghantar kapal bantuan hospital KRI dr. Radjiman Wedyodiningrat-992 untuk membawa bantuan kemanusiaan kepada warga Gaza.
Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto melepaskan kapal dari Komando Trafik Laut Tentera Laut Indonesia itu pada satu majlis pagi ini.
“Semoga bantuan yang kita kirim hari ini bisa sampai tujuan dengan aman dan lancar serta bermanfaat untuk saudara-saudara kita di sana,” katanya melalui Facebooknya.
Kapal itu membawa bantuan, seperti makanan, pakaian, air mineral, dan ubat-ubatan, dari Jakarta ke Al Arish, sebuah bandar di Mesir yang bersempadan dengan Rafah di Gaza.
Beliau berkata, pemerintah Indonesia berkomitmen untuk terus membantu bagi mengurangkan penderitaan penduduk di Palestin.
Kapal bantuan hospital itu pada mulanya juga dirancang untuk menjalankan perkhidmatan kesihatan di atas kapal tetapi kebenaran yang diberikan kerajaan Mesir hanya menyampaikan bantuan dan mengadakan lawatan mesra ke El Arish.
Kapal itu, dengan 214 anak kapal, 40 adalah anggota pasukan khas Tentera Laut Indonesia dijadualkan berlayar selama 52 hari dari Jakarta melalui Batam ke El Arish, Mesir, dan kembali ke Indonesia.
Kapal itu juga dijadualkan untuk lawatan ke pelabuhan di Jeddah, Arab Saudi.
