Operasi susulan di ‘hot spot’ warga asing

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Operasi susulan akan dilaksanakan di sekitar bandar raya ini dengan tumpuan di kawasan ‘hot spot’ warga asing, bagi kesalahan berkaitan imigresen, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid.

Katanya, operasi mirip serbuan di Jalan Silang pada 21 Disember lalu itu akan dilakukan oleh Bukit Aman membabitkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Katanya, operasi bertumpu di lokasi tumpuan warga asing bagi mengesan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Pemantauan mendapati kebanyakan mereka yang bekerja ini memiliki dokumen pengenalan diri dan itu sebabnya mereka berani bekerja serta dan berada di tempat awam,” katanya selepas melakukan Program Walkabout Polis Kuala Lumpur di Jalan Chow Kit di sini, malam tadi.

Katanya, matlamat utama ialah memastikan persekitaran bandar raya ini aman dan terhindar daripada anasir jenayah.

Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya, pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan kebelakangan ini turut dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Imigresen.

Related posts

Leave a Comment