Tun Juhar lafaz sumpah jawatan

KOTA KINABALU 1 Jan. – Tun Juhar Mahiruddin melafazkan sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah bagi penggal keempat dalam satu istiadat yang berlangsung di Istana Seri Kinabalu di sini pagi ini.

Selepas melafazkan sumpah jawatan, Tun Juhar menandatangani surat sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.

Ini diikuti Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menyampaikan ucapan tahniah dan lafaz ikrar taat setia.

Mufti Kerajaan Negeri Sabah,  Bungsu @Aziz Jaafar kemudian membacakan doa memohon kesejahteraan negeri di bawah naungan Tun Juhar, sebelum Yang Dipertua Negeri Sabah itu meninggalkan istiadat pada pukul 11 pagi.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Dr Joachim Gunsalam, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Kadzim M Yahya, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah  Safar Untong.

Tun Juhar menerima Surat Cara Pelantikan pada 23 Disember lalu, bagi menyambung khidmatnya sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah bagi tempoh dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Pelantikan Tun Juhar, 69,  sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10 bermula pada 1 Januari 2011 bagi menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah.

Sementara itu, Hajiji dalam ucapan tahniah dan lafaz ikrar taat setianya berkata berkat bimbingan Tun Juhar, Sabah kini dalam landasan yang tepat bagi memperkasa pertumbuhan ekonomi dan merancakkan pembangunan melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 (2021 hingga 2025).

Katanya , pelaksanaan pelan pembangunan yang komprehensif dan holistik telah menampakkan impak positif antaranya nilai pelaburan asing dan domestik semakin bertambah, perkembangan positif sektor pelancongan serta pelaksanaan program pembangunan di semua sektor.

Hajiji yakin Sabah akan terus menikmati kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran di bawah naungan Tun Juhar sebagai simbol perpaduan pemimpin dan rakyat berbilang latar belakang di negeri ini.

Related posts

Leave a Comment