PN lapor polis kenyataan Koo Ham

KAJANG 11 Jan. –  Pemuda Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis terhadap, Ngeh Koo Ham selepas Ahli Parlimen Beruas itu mendakwa pembangkang mengapi-apikan keadaan supaya beliau dibenci berikutan satu cadangannya hingga menyebabkan kediamannya diserang molotov cocktail.

Ketua Pemuda PN yang juga Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadli Shaari hadir di Balai Polis Kajang membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat kenyataan Koo Ham itu.

Turut serta, Ketua Armada Bersatu  yang juga Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Koo Ham sebelum ini mencadangkan pakar bukan Islam turut dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam..

Cadangan itu menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk parti politik pembangkang sebelum beliau kemudian memohon maaf.

Bagaimanapun dalam kenyataannya pada sidang media berhubung serangan bom petrol ke atas kediamannya, Koo Ham mendakwa pelaku kes itu, terdorong daripada kenyataan dikeluarkan pembangkang.

Susulan kenyataan yang disifatkan biadap kerana mendahului siasatan sedang dijalankan polis, Ahmad Fadhli berkata, satu laporan dibuat di Balai Polis Kajang bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat Koo Ham.

“Seperti dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution semalam, jangan ada sesiapa mendahului siasatan, termasuk mengeluarkan persepsi dan menyatakan sangkaan terhadap mana-mana suspek.

“Ini kerana proses mengenal pasti suspek dan menjalankan siasatan adalah kuasa pihak polis. Laporan ini untuk mengekang sebarang kenyataan awal dibuat oleh beliau (Koo Ham), biar polis yang siasat,” katanya selepas membuat laporan berkenaan.

Ahmad Fadhli menegaskan, perbuatan khianat terhadap kediaman Koo Ham semalam tidak boleh diterima dalam amalan demokrasi negara dan tindakan melakukan ugutan untuk membunuh serta khianat bukan pendekatan politik PN.

“Saya berharap polis dapat mempercepatkan siasatan meskipun beliau sudah memaafkan pelakunya. Bagi kami, maaf atau tidak itu perkara kedua, paling penting adalah polis siasat dan heret pelaku ini ke muka pengadilan.

“Saya yakin pelaku tiada kaitan dengan PN mahupun mana-mana parti pembangkang yang ada pada hari ini,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment