Tindakan mengaitkan Bersatu, Pas tidak bertanggungjawab

KUALA LUMPUR 11 Jan. –  Tindakan Ahli Parlimen Beruas,  Ngeh Koo Ham mengaitkan Bersatu dan Pas sebagai mengapi-apikan isu sehingga membawa kepada serangan ‘molotov cocktail’ terhadap rumahnya sebagai tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan berkata dalam urusan agama, orang Islam akan bangkit sendiri tanpa perlu diapi-apikan apabila urusan Islam dicampuri pihak luar.

“Sayugia diingatkan dalam urusan agama Islam ini tak perlu dicampuri oleh pihak luar yang tidak berkaitan, kerana apabila dicampuri, orang Islam akan bangkit tanpa perlu diapi-apikan.

“Sebab itu daripada menuduh, sepatutnya beliau (Koo Ham) memohon maaf dan insaf tanpa menuduh orang lain,” katanya.

Semalam, Koo Ham dilapor memaafkan pihak yang melontar bom botol sehingga menyebabkan kebakaran yang merosakkan kereta dan rumah nya.

Bagaimanapun, beliau menuding jari kepada pembangkang yang didakwanya mengapi-apikan isu supaya orang membencinya.

Koo Ham mendakwa serangan yang bertujuan membakar kediamannya itu dipercayai berpunca daripada kenyataannya sebelum ini berhubung cadangan supaya bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang turut menggesa semua pihak mengambil iktibar daripada kejadian melibatkan Koo Ham supaya berhati-hati dalam melontarkan sesuatu pandangan.

“Apatah lagi jika ia menyentuh mengenai hal-hal sensitif kerana kita tidak mahu disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga, sedangkan nikmat keamanan yang dikecapi ini tidak dibina dalam tempoh semalaman,” katanya.

Ahli Parlimen Larut itu juga menyifatkan perbuatan khianat oleh pihak tertentu yang membaling bom botol ke kediaman Koo Ham sebagai tidak boleh diterima dan perlu diadili melalui tindakan undang-undang.

“Polis perlu segera memburu dalang kejadian khianat itu kerana perbuatannya bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang, tetapi juga mencabuli prinsip kehidupan bermasyarakat di negara ini yang sememangnya terkenal dengan suasana aman dan harmoni,” katanya.

Related posts

Leave a Comment