GENEVA: Hanya kira-kira satu pertiga daripada hospital di Gaza berfungsi dengan sebahagiannya beroperasi di kawasan yang dibom tentera Israel dalam kempen ketenteraan terhadap Hamas.
Pada masa yang sama, pertempuran semakin sengit di kawasan tengah dan selatan, memberikan tekanan tambahan kepada hospital yang terlalu dibebani pesakit yang masih dibuka.
Susulan itu, pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan keruntuhan sistem kesihatan di selatan dan tengah Gaza, dengan ratusan kakitangan perubatan dan pesakit meninggalkan hospital untuk menyelamatkan diri.
“Apa yang kami lihat adalah benar-benar membimbangkan di sekitar Hospital Al Aqsa dengan permusuhan yang semakin sengit sangat dekat dengan Hospital Gaza Eropah dan Hospital Nasser (Hospital)
Kami tidak boleh kehilangan kemudahan kesihatan ini. Mereka perlu dilindungi sepenuhnya, ini adalah barisan terakhir penjagaan kesihatan menengah dan tertiari yang ada di Gaza dari utara ke selatan dan ia menurun, hospital demi hospital,” kata penyelaras pasukan perubatan kecemasan WHO di Gaza, Sean Casey dalam taklimat akhbar melalui pautan video.
Casey berkata, pesakit mempertaruhkan nyawa mereka untuk ke hospital di bandar selatan Khan Younis pada hari Selasa kerana pertempuran yang masih berterusan.
“Semasa lawatan ke Al Aqsa di tengah Gaza dua hari lalu, saya dapati 70 peratus kakitangan meninggalkan hospital, pada malam yang sama ratusan pesakit yang cukup sihat melarikan diri.
“Ramai kakitangan di Hospital Nasser di bandar Khan Younis juga menyertai ratusan ribu rakyat Gaza yang lain ke tempat perlindungan. Terdapat hanya seorang doktor untuk lebih 100 mangsa melecur di sana.
“Apa yang terus kita lihat ialah sistem kesihatan menderita, pekerja kesihatan tidak dapat pergi ke tempat kerja mereka untuk menjaga pesakit kerana takut nyawa mereka hilang. Pesakit juga mengalami keadaan sama. Kami melihat sistem kesihatan runtuh pada kadar yang sangat pantas,” katanya.
Sementara itu, wakil WHO di wilayah Palestin yang diduduki, Rik Peeperkorn, dalam taklimat sama memberitahu bahawa semakin sukar bagi WHO untuk membuat penghantaran perubatan ke dalam Gaza.
“Apa yang kita saksikan adalah ruang kemanusiaan yang kompleks dan mengecut, kerana permusuhan bergerak ke selatan dan kekurangan akses,” katanya.
Foto fail WHO
