KUALA LUMPUR 10 Jan. – Pas meminta Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mendedahkan maksud di sebalik derma RM500 juta dan RM750 juta seperti dikongsikan dalam kenyataan di akaun media sosial semalam.
Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan Perdana Menteri itu, dua jam lebih awal daripada kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara telah menimbulkan keraguan termasuk isu derma.
“Kenapa ditulis nilai RM500 juta dan RM750 juta? Ertinya ada maklumat khusus. Jika ada maklumat khusus, mohon PMX (Anwar) dedahkan saja.
“Janganlah jadi macam isu dana judi yang dilumurkan kepada Perikatan Nasional (PN), selepas setahun masih belum dibuktikan,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata, kenyataan dibuat Perdana Menteri itu lebih banyak membangkitkan persoalan dari penjelasan.
Ahmad Fadhli mendakwa Anwar menggunakan gambar arkib, bukan gambar semasa pertemuan bersama Seri Paduka sebelum menukar gambar yang terbaru.
“Hakikatnya tindakan PMX menimbulkan keraguan. Terkejar-kejar mendahului pihak Istana Negara, apa yang ingin dikejar sangat tu? Tindakan ini seperti tidak menghormati kedudukan utama YDPA dan pihak Istana Negara dalam mengeluarkan sesebuah kenyataan rasmi.
“Dalam pertemuan rasmi dan penting melibatkan pihak istana, ‘keterujaan’ berkongsi tidak perlu sampai menjadi lebih sudu dari kuah. Langkah apa yang cuba dibuat PMX? Mohon penjelasan,” katanya.
Anwar dalam kenyataan semalam memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah bahawa Istana Negara tidak akan terbabit dalam sebarang percaturan politik.
Seri Paduka juga menitahkan Anwar dan Kerajaan Madani untuk meneruskan kerja mengurus negara.
Pada perenggan terakhir Anwar berkata: Saya juga menambah seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara.
Menurut Ahmad Fadhli, Istana Negara dalam kenyataan tidak menulis berkaitan sumbangan derma.
“Siapakah yang mahu menderma itu? Adakah PMX mahu memberitahu ‘dengan halus’ kepada YDPA agar tidak menerima apa-apa sumbangan tetapi dilontar ke khalayak? Atau itu sebenarnya ‘amaran’ dari PMX?,” tanya beliau.
foto FB Pas
