Bomba ambil 11 sampel di rumah Koo Ham

MANJUNG 10 Jan. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil 11 sampel di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang dibaling ‘molotov cocktail’ di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, di sini, untuk dianalisis di makmal.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, dengan bantuan Unit Anjing Pengesan K9 agensi itu, pihaknya sudah menjalankan proses forensik kebakaran di lokasi kejadian

“Operasi forensik ini diketuai oleh Ketua Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Perak, Mohamed Habib Mohamed Dali. Pasukan penyiasatan mengambil 11 sampel di tempat kejadian untuk dibawa ke makmal bagi siasatan lanjut,” katanya, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kediaman dan tiga kereta milik Ngeh terbabit kebakaran akibat dilempar bahan letupan ‘molotov cocktail’ awal pagi tadi.

Dalam kejadian awal pagi itu, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 3.05 pagi.

Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati terdapat kebakaran membabitkan tiga kereta iaitu Mercedes E300, Honda CRV dan Toyota Hilux selain siling dan bumbung garaj meletak kereta.

Bagaimanapun tiada mangsa cedera dan operasi ditamatkan pukul 4.44 pagi selepas kebakaran berjaya dipadamkan.

Related posts

Leave a Comment