KOTA BHARU 3 Sept. – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bersama 25 lagi ahli Pemuda menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas hari ini sempena Muktamar Pas kali ke-72.
Kehadiran beliau diiringi Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden, bersama Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, kira-kira pukul 8.30 pagi.
Dalam catatan ringkasnya di Facebook, beliau berkata: “Berbeza wadah, namun satu akidah. Bertemu dalam semangat ukhuwah, melangkah bersama demi memperkukuh ummah,”.
Beliau juga berharap setiap pertemuan membawa penyatuan, dan setiap perjuangan mendapat keberkatan Allah SWT.
“Selamat bermuktamar dewan Pemuda Pas Malaysia InsyAllah pemuda memimpin penyatuan ummah,” katanya.
Muktamar Dewan Pemuda berlangsung dua hari bermula semalam, dengan majlis perasmian akan disempurnakan Tuan Ibrahim hari ini.
Selain Dewan Pemuda, Muktamar Dewan Ulama dan Dewan Muslimat Pas turut dijadual berlangsung hari ini, masing-masing di Kota Bharu dan Bachok.
(Foto FB Dr Akmal)
