Asyraf Wajdi tidak tunduk tekanan

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Dr Asyraf Wajdi Dusuki tidak akan tunduk terhadap desakan pihak tertentu supaya berundur sebagai Pengerusi MARA kerana kononnya dikaitkan dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Setiausaha Agung UMNO itu berkata, hanya Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang melantiknya boleh menentukan sama ada beliau perlu berundur.

“Kalau misalnya Menteri KKDW minta saya berhenti, saya berhenti. Tapi bukan atas desakan AMK atau PKR.

“Begitu juga dengan isu RCI Tabung Haji, ia tiada relevan kerana tidak ada disebut nama saya dalam RCI Tabung Haji. Saya juga tidak pernah dikaitkan dengan isu Tabung Haji dan sebagainya,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, dakwaan berkenaan dilihat sebagai permainan persepsi pihak tertentu yang mahu menjejaskan reputasi dan imej MARA.

Baginya apa yang paling penting beliau menjaga amanah parti untuk menjaga MARA yang lahir daripada rahim UMNO dan institusi orang Melayu dan Bumiputera.

Katanya, sepanjang hampir tiga tahun menerajui MARA, beliau memberi tumpuan kepada pengukuhan agenda pendidikan dan keusahawanan orang Melayu, selain memperkemas aspek tadbir urus institusi berkenaan.

Kedudukan MARA sebagai institusi yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera perlu dipertahankan daripada sebarang usaha yang boleh menjejaskan reputasi serta imejnya.

“Ini bukan soal Dr Asyraf Wajdi, ini soal institusi MARA. Ia institusi amanah orang Melayu yang dipertanggungjawabkan oleh kepimpinan UMNO yang melahirkan MARA pada 1966 di PAU.

“Kalau ada agenda-agenda yang sekadar untuk menjatuhkan institusi ini, saya kira saya mewakili parti UMNO akan terus mempertahankannya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment