Dr Akmal tegas tidak tanding jika BN-PH bersama

KOTA BHARU 3 Sept. – Ketua Pemuda UMNO,  Dr Muhammad Akmal Saleh mengulangi pendiriannya tidak akan menjadi calon sekiranya Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu berkata, pendirian itu dipegang sejak dulu menolak BN bekerjasama dengan PH dan tidak akan menggadaikannya demi jawatan pada pilihan raya Melaka.

“Pendirian saya dulu, kini dan selamanya tak akan bersama dengan PH. Jika BN dengan PH, saya sendiri tak akan jadi calon. Sebab bagi saya, bila kita berjuang, kita ada satu pendirian maka saya tak akan gadaikan pendirian demi sebuah jawatan.

“Pendirian saya bukan pendirian seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tapi sebagai Ketua Pemuda UMNO yang menyatakan dengan tegas kita sama sekali tidak ingin bersama dengan PH,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, gesaan supaya UMNO keluar kerajaan dan memilih untuk menjadi pembangkang pernah disuarakannya sebelum ini tetapi parti memilih untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya, pada awal tahun lepas, ketika Konvensyen Khas Pemuda UMNO, sudah dinyatakan hasrat meminta UMNO keluar daripada kerajaan.

Bagaimanapun selepas konvensyen itu, parti membuat keputusan untuk kekal sehingga tamat penggal ini, dan keputusan itu dihormati.

“Tapi  kali ini pendirian saya untuk tidak bertanding jika BN-PH bekerjasama di Melaka, kekal dulu kini dan in syaa Allah selamanya,” katanya.

Beliau juga menyifatkan kehadirannya pada Muktamar Dewan Pemuda Pas hari ini sebagai memberi sokongan kepada pergerakan dalam usaha penyatuan ummah.

“Kita hadir memberikan sokongan kepada Dewan Pemuda Pas kerana kita semua tahu agenda kami adalah untuk menyatukan ummah, selari dengan tema Pemuda Pas,” katanya.

Nnnn

 

Related posts

Leave a Comment